Utusan Borneo (Sarawak)

Rabies: Kuala Sepetang kini selamat dikunjungi

-

IPOH: Mukim Matang, yang menempatka­n kawasan pelanconga­n Kuala Sepetang, dan diisytihar­kan sebagai kawasan penyakit anjing gila atau rabies pada 12 Julai lepas kini selamat dikunjungi, kata Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Pengangkut­an Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata status kawasan tersebut telah diturunkan daripada peringkat Indeks Penyakit Wabak kepada Indeks Penyakit Kawalan berikutan sebanyak 43 sampel anjing yang diambil di kawasan itu sejak Julai hingga Ogos ini disahkan negatif rabies.

“Tiada masalah untuk pelancong datang ke kawasan ini kerana keadaannya semakin pulih seperti sedia kala. Hasil pemantauan yang dijalankan mendapati tiada kes berulang atau terjadi di kawasan itu,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurut Dr Mah, terdapat beberapa prosedur yang perlu dilalui oleh Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Perak sebelum kawasan itu diisytihar­kan bebas rabies.

“Bagi peringkat indeks Penyakit Kawalan ia mengambil masa selama enam bulan dan selepas itu mengambil tempoh setahun enam bulan bagi menjadikan kawasan itu bebas rabies,” katanya.

Dr Mah berkata pemantauan masih diteruskan termasuk memberikan vaksin kepada anjing dan kucing di Kuala Sepetang selain tiada lagi sekatan jalan raya yang menghalang keluar masuk anjing dan kucing di kawasan itu mulai esok.

Beliau berkata pihak Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Perak telah menjalanka­n bancian ke atas 2,442 rumah yang terletak dalam lingkungan satu hingga 10 kilometer radius dari lokasi kes itu dan sebanyak 371 ekor anjing, kucing dan kera telah divaksinka­n.

“Bilangan anjing bertuan di kesan sebanyak 605 ekor manakala anjing tidak bertuan 122 ekor. Bilangan kucing bertuan pula sebanyak 1,783 ekor manakala kucing liar 24 ekor,” katanya.

Dr Mah berkata pelbagai program telah dilaksanak­an termasuk memberi ceramah kepada pelajar sekolah dan di masjid bagi menerangka­n lebih lanjut tentang wabak itu.

Mukim Matang dalam daerah Larut Matang dan Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan penyakit anjing gila berkuat kuasa Isnin lepas setelah seekor anjing mati pada 12 Julai akibat rabies, sembilan hari selepas menggigit dua kanak- kanak perempuan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia