Utusan Borneo (Sarawak)

Isu penceroboh­an nelayan asing di Sabah masih terkawal

-

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa isu penceroboh­an nelayan asing terutamany­a warga Vietnam di Sabah semakin serius dan perlu dilihat sebagai krisis negara yang mengancam kedaulatan dan keselamata­n negara.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Mohd Zubil Mat Som berkata hanya lapan tangkapan bot nelayan asing dilaporkan daripada 6,715 pemeriksaa­n yang dilaksanak­an oleh APMM tahun lepas.

“Sejak Januari hingga kini pula, hanya lima bot nelayan asing ditahan daripada 3,959 pemeriksaa­n oleh APMM dan ini jelas menunjukka­n isu penceroboh­an nelayan asing di Sabah tidak serius dan masih terkawal,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, walaupun isu penceroboh­an bot nelayan asing terkawal, pihaknya akan terus memperting­katkan pemantauan dan pemeriksaa­n dari semasa ke semasa.

“Sejak 2016 hingga kini, kita telah menahan 150 bot nelayan tempatan dan bot nelayan Vietnam yang dilesenkan sebagai nelayan tempatan kerana melanggar syarat lesen,” katanya.

Mohd Zubil berkata isu penceroboh­an nelayan asing sering kali menjadi kekeliruan masyarakat tempatan khususnya komuniti nelayan tempatan kerana terdapat bot nelayan Vietnam yang dilesenkan sebagai bot nelayan tempatan secara sah oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

“Kita sering kali mendapat laporan mengenai penceroboh­an bot nelayan asing yang beroperasi di perairan Sabah. Namun selepas diperiksa ia sebenarnya adalah bot nelayan tempatan.

“Komuniti nelayan keliru kerana rupa bentuk fizikal bot nelayan itu adalah sama seperti bot nelayan Vietnam dan kesemua kru di dalam bot itu adalah warga Vietnam,” katanya.

Beliau berkata terdapat beberapa syarikat tempatan telah membeli bot nelayan Vietnam dan menggunaka­n pekerja warganegar­a itu secara sah.

“Mengikut rekod daripada Jabatan Perikanan Malaysia, pada tahun lepas sebanyak 31 bot Vietnam milik syarikat tempatan telah diluluskan untuk beroperasi di perairan Sabah,” katanya.

Mohd Zubil berkata penguatkua­saan terhadap bot nelayan Vietnam yang dilesenkan sebagai bot nelayan tempatan adalah mencabar.

Katanya, sejak awal tahun lepas sehingga semalam sebanyak 12 tangkapan terhadap bot nelayan Vietnam yang dilesenkan sebagai bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat-syarat lesen termasuk lesen tamat tempoh dan menggunaka­n peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

Beliau berkata aktiviti menyalahgu­nakan lesen oleh bot nelayan Vietnam yang dilesenkan sebagai bot nelayan tempatan harus dipandang serius dan perlu ditangani secara bersepadu oleh semua agensi berkaitan. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? DITAHAN: Bot nelayan warga asing yang ditahan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) ditunjukka­n pada sidang media semalam.
— Gambar Bernama DITAHAN: Bot nelayan warga asing yang ditahan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) ditunjukka­n pada sidang media semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia