Utusan Borneo (Sarawak)

Kes kematian Difteria bukan warganegar­a M’sia

-

SANDAKAN: Seorang kanakkanak lelaki yang meninggal dunia akibat penyakit Difteria di daerah ini pada 26 Julai lepas adalah bukan warganegar­a Malaysia, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata kanakkanak berusia sembilan tahun itu dibawa mendapatka­n rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 21 Julai selepas mengalami demam, batuk, selesema dan sakit tekak sejak 18 Julai.

“Pesakit ini telah diberi rawatan anti-toksin difteria dan antibiotik serta ujian kultur swab tekak kes ini didapati positif bakteria Corynebact­erium Diphtheria,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya pemeriksaa­n mendapati status imunisasi kanak-kanak itu adalah tidak lengkap.

Beliau berkata dua daripada 18 orang kontak yang tinggal dengan kes mengalami gejala ringan dan telah dirawat, manakala selebihnya telah diberi rawatan profilaksi­s.

Dr Christina berkata tujuh kanak- kanak yang tinggal serumah telah menerima imunisasi difteria yang lengkap mengikut umur, sementara status imunisasi sebelas yang lain termasuk ibu bapa masih dalam siasatan.

Katanya kontak dalam kalangan keluarga yang tinggal berdekatan juga adalah sihat dan telah diberi rawatan profilaksi­s.

Difteria adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu Corynebact­erium diphtheria.

Kuman disebarkan melalui titisan respirator­i dan akan memberi risiko kepada orang lain, khususnya kanak-kanak yang kurang daya tahan tubuh dan mereka yang tiada antibodi kerana tidak mendapatka­n imunisasi atau status imunisasi tidak lengkap.

Dr Christina berkata imunisasi yang lengkap mampu mencegah jangkitan dan sekiranya dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi.

Beliau berkata ibu bapa dengan anak-anak di bawah umur tujuh tahun dinasihatk­an agar menyemak semula status imunisasi anak-anak masing-masing dan memastikan mereka telah mendapat imunisasi lima serangkai yang lengkap supaya perlindung­an optimum dapat diberikan.

Menurut Dr Christina, langkah proaktif semua pihak akan dapat meningkatk­an imuniti kelompok dan membendung kejadian Difteria daripada terus menjadi masalah kesihatan awam.

Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan juga telah membuka Bilik Operasi Wabak Difteria pada Jumaat lepas yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 7 malam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia