Utusan Borneo (Sarawak)

Pelajar IPT maut, enam cedera bot terbalik

-

BESUT: Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), maut manakala enam yang lain termasuk seorang kakitangan dan pemandu bot mengalami kecederaan apabila bot pelancong yang mereka naiki terbalik di laut berhampira­n Pulau Rhu dekat Kuala Besut tengah hari semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nurhasibah Husna Ibrahim, 21, berasal dari Kampung Alor Pasir, Jalan Kota Bahru, Pasir Putih, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitend­en Mohd Zamri Mohd Rowi berkata mangsa yang cedera dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu ialah Auni Atirah Ramli dari Kolej Poly- Tech MARA, Kota Bahru, Nooratitah Che Hassan dari Universiti Teknologi MARA, Machang, Nur Shafira Jali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Abdu Aziz Romeli dari Kolej Poly-Tech MARA, Kota Bahru dan seorang kakitangan penganjur rombongan itu Azmi Mohamed serta pemandu bot Azizi Mohamad.

Kesemua yang cedera dikejarkan ke Hospital Besut bagi mendapatka­n rawatan lanjut.

Mohd Zamri berkata kejadian berlaku apabila mangsa bersama 14 penuntut dan kakitangan dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dikatakan dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian setelah mengikuti Himpunan Mahasiswa Anak-Anak Kelantan (HIMSAK) di pulau itu kelmarin.

Bagaimanap­un, bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal sebelum terbalik dan menghempap mangsa dan penumpang lain dalam bot tersebut.

“Siasatan awal mendapati kesemua penumpang yang menaiki bot terbabit memakai jaket keselamata­n dan kebanyakan mereka yang cedera ialah akibat terseliuh tangan, luka dan bengkak selepas ditindih bot berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, dilaporkan seramai 60 penuntut dari pelbagai universiti telah mengikuti satu perhimpuna­n di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan mereka telah dibawa ke beberapa buah pulau di Terengganu termasuk Pulau Perhentian untuk menjalani sesi latihan kepimpinan.

“Mereka kemudian balik ke daratan hari ini (semalam) dengan menggunaka­n empat buah bot pelancong termasuk bot yang dinaiki mangsa pada jam 11 pagi tadi dari ( semalam) Pulau Perhentian,” kata Mohd Zamri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia