Utusan Borneo (Sarawak)

300 pelajar di Subis terima baucar beli pakaian seragam sekolah

-

MIRI: Seramai 300 pelajar kawasan Subis menerima baucar tunai berjumlah RM200 daripada Yayasan Sarawak bagi membeli pakaian seragam sekolah.

Semua baucar berjumlah RM60,000 itu diagih di bawah Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak.

Menurut Pegawai Pendidikan Daerah Subis Abdul Azib Ismail, jumlah baucar antara sebahagian peruntukan sebanyak RM4 juta diagih kerajaan untuk program berkenaan di seluruh negeri ini.

“Ini satu bukti menunjukka­n bahawa kerajaan menerusi Yayasan Sarawak, sentiasa prihatin dan komited dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya pelajar sekolah,” katanya semasa berucap pada penyampaia­n baucar di Bekenu, semalam.

Penyampaia­n baucar kepada pelajar telah disempurna­kan oleh Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Rosey Yunus, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu.

Turut hadir Penolong Pengarah Yayasan Sarawak Suryani Abdul Hamid yang mewakili Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang serta Pegawai Daerah Subis Husaini Bakir.

Terdahulu, dalam ucapannya Abdul Azib berkata Pejabat Daerah Subis turut memberi sejumlah bantuan kepada pelajar yang layak pada permulaan sesi persekolah­an tahun ini.

“Di bawah program pembasmian kemiskinan, sejumlah 3,931 pelajar di Subis telah menerima faedah atau manfaat daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan e-Kasih, yang melibatkan bantuan berjumlah RM430,250.

“Selain itu, bantuan kerajaan lain seperti Baucar 1Malaysia untuk pelajar tingkatan enam, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu 1Malaysia serta banyak lagi, masih diteruskan pada setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Rosey dalam ucapannya pada majlis perasmian tersebut memuji usaha dan langkah dilakukan Yayasan Sarawak dalam membantu ibu bapa, khususnya kurang berkemampu­an menampung perbelanja­an dan keperluan persekolah­an anak-anak pada setiap tahun. “Kita berharap usaha ini akan dapat mengurangk­an bebanan ibu bapa. Pada masa sama bantuan ini dan bantuan kerajaan yang lain dapat membantu ibu bapa memastikan anak-anak memperoleh pendidikan sewajarnya serta tidak ketinggala­n dalam pelajaran kerana masalah kemiskinan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia