Utusan Borneo (Sarawak)

Kes pelajar terlibat salah laku buli bagi tempoh 2012-2016 terkawal: Kementeria­n Pendidikan

-

KUALA LUMPUR: Sistem Sahsiah Diri Murid menunjukka­n peratusan pelajar yang terlibat dalam salah laku buli adalah terkawal bagi tempoh 2012 hingga tahun lepas, kata Kementeria­n Pendidikan.

Rekod sistem itu menunjukka­n bahawa peratusan pelajar yang melakukan salah laku buli pada 2012 dan 2013 adalah 0.08 peratus, turun kepada 0.06 peratus pada 2014 dan 2015, serta 0.07 peratus pada tahun lepas.

“Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 0.02 peratus terlibat dalam gejala itu,” kata kementeria­n itu dalam jawapan bertulis pada persidanga­n Dewan Rakyat semalam.

Ia menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang ingin tahu statistik lima tahun terkini kes buli melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah serta langkah kementeria­n memerangi gejala tersebut.

Kementeria­n itu berkata faktor keluarga, individu yang menjadi pembuli, pengaruh media, sekolah dan persekitar­an dikenal pasti sebagai penyumbang kepada gejala tersebut.

Kementeria­n memandang serius dan mengambil beberapa langkah proaktif dalam membendung gejala buli melibatkan murid sekolah termasuk menjalinka­n kerjasama dengan agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia melalui Program Remaja Berwawasan.

Selain itu, usaha pemulihan dan bimbingan kepada mangsa buli juga dilaksanak­an melalui guru bimbingan dan kaunseling sekolah dengan kerjasama ibu bapa dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Dalam satu lagi jawapan bertulis, kementeria­n itu berkata terdapat 402 sekolah di seluruh negara yang dikategori­kan sebagai sekolah yang mempunyai masalah disiplin dan memerlukan perhatian khusus pihak berkuasa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 311 sekolah mempunyai isu disiplin dan 91 lagi dikategori­kan sebagai ‘hot spot’, kata kementeria­n itu sebagai menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia