Utusan Borneo (Sarawak)

Rabies: 101 kes gigitan haiwan baharu dilapor semalam

-

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mendedahka­n telah menerima laporan sebanyak 101 kes gigitan haiwan baharu setakat semalam.

Menurut kenyataan Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes tersebut merangkumi 45 kes dari bahagian Serian, diikuti 34 kes dari bahagian Kuching dan 22 kes dari bahagian Samarahan.

“Daripada jumlah ini, 85 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing sebanyak 42 kes, 42 kes (kucing) dan satu kes (arnab).

“Manakala 16 kes melibatkan haiwan liar iaitu 10 kes (anjing), empat kes (kucing), satu kes (tupai) dan satu kes (tikus),” kata kenyataan tersebut, semalam.

Jelas kenyataan tersebut, laporan terbaharu itu menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan sejak 1 April lalu hingga hari ini adalah berjumlah 1,970 kes.

Manakala secara kumulatif, seramai 873 orang telah menerima suntikan vaksin antirabies, ujar kenyataan tersebut.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April sehingga hari ini harus segera melakukan pemeriksaa­n di mana-mana kemudahan kesihatan terdekat anda,” jelasnya.

Dalam perkembang­an berkaitan, Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) mengadakan Program Pemvaksina­n Anjing di dua lokasi berlainan semalam iaitu di daerah Lundu dan bahagian Serian.

Jelas kenyataan itu, setakat jam 3 petang semalam, sebanyak 551 anjing telah divaksin iaitu 126 ekor di Serian dan 425 ekor di Lundu.

Dedah kenyataan itu lagi, jumlah haiwan kesayangan yang telah divaksin setakat hari ini adalah sebanyak 29,784 ekor terdiri daripada 22,142 anjing, 7,597 kucing dan 45 haiwan lain.

Sementara itu, Program Pemvaksina­n Anjing bagi mengawal penularan wabak rabies yang sepatutnya berlangsun­g hari ini, ditangguhk­an bagi memberi laluan kepada Program Pemvaksina­n Anti-Rabies kepada para petugas terlibat.

Dalam pada itu, bagi tiga kawasan yang dijangkiti wabak rabies termasuk bahagian Serian, Kuching dan Sri Aman, sebanyak 33,171 survelan aktif dan 678 survelan pasif telah dilakukan oleh JPVS.

“Sejumlah 169 sampel terdiri daripada 151 sampel anjing, 17 sampel kucing dan 1 sampel kelawar yang diperolehi dari Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri telah dihantar ke VRI, Ipoh untuk ujian virus rabies.

“Setakat ini, sebanyak 154 keputusan telah diterima dengan 39 adalah positif virus rabies menerusi ujian Direct Fluorescen­t Antibody Test ( FAT),” kata kenyataan tersebut.

Sebanyak 160 kempen kesedaran mengenai wabak rabies telah diadakan setakat ini yang dihadiri 31,615 peserta.

JPVS turut mengingatk­an semua pihak untuk mengelak haiwan kesayangan sama ada yang telah atau belum divaksin daripada bercampur dengan haiwan terbiar dan memerhati perubahan sikap daripada jinak kepada ganas.

Selain itu, tanda-tanda lain adalah seperti menggigit sebarang benda yang bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah dan agresif.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia