Utusan Borneo (Sarawak)

Buku panduan SOP, kad pengurusan remaja hamil dilancar

-

KUCHING: Buku panduan prosedur operasi standard (SOP) dan kad pengurusan remaja hamil dilancarka­n semalam.

Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah berkata, buku itu bagi memberi panduan kepada ahli jawatankua­sa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) dalam menangani isu yang dihadapi golongan itu di negeri ini.

“Dengan buku dan kad ini kita dapat menyeragam­kan proses kerja mengenal pasti kes OSTPC yang didaftarka­n dan pada masa sama menyeragam­kan proses kerja pengurusan remaja hamil termasuk rujukan dan pelaporan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mesyuarat SOP OSTPC peringkat negeri dan pelancaran buku panduan dan kad pengurusan remaja hamil di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Pada masa sama Fatimah mendedahka­n, meskipun trend remaja hamil di negeri ini menunjukka­n penurunan namun dari segi bilanganny­a berbanding negeri lain masih di tahap yang tinggi.

“Sebab itulah kita memperkena­lkan buku dan kad ini dalam usaha kita menangani dan mengurangk­an bilangan remaja hamil di negeri ini,” tambahnya.

Jelasnya lagi, berdasarka­n statistik bagi Januari hingga Jun tahun ini, sejumlah 1,135 kehamilan remaja direkodkan.

“Dari jumlah ini remaja hamil yang tidak berkahwin menunjukka­n peningkata­n yang menjadi kebimbanga­n kita pada hari ini.

“Justeru, kita bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menjalanka­n kajian berkaitan bagi memahami isu yang dihadapi remaja ini yang menyumbang ke arah bilangan tersebut di negeri ini,” katanya sambil menambah, kajian itu akan dijalankan di Kapit pada September tahun ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu semalam, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Rosey Yunus dan ahli jawatankua­sa OSTPC lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia