Utusan Borneo (Sarawak)

290 warga asing diperiksa dalam operasi kesan pengganas

-

CYBERJAYA: Seramai 290 warga asing diperiksa secara rawak dalam operasi mengesan individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas di beberapa kawasan tumpuan warga asing di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata antara yang diperiksa dalam operasi yang bermula jam 9.30 malam kelmarin (Rabu) hingga 6.30 pagi semalam termasukla­h 98 penuntut asing di intitusi pendidikan tinggi awam dan swasta.

Katanya kesemua mereka, yang terdiri daripada 281 lelaki dan sembilan wanita, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk semakan dengan beberapa pangkalan data pengganas termasuk Senarai Pejuang Pengganas Asing (FTF) Interpol, namun tiada yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengganas.

“Selepas kesemua suspek menjalani semua peringkat tapisan, kita menahan 57 warga asing terdiri daripada 54 lelaki dan tiga wanita atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Daripada 290 warga asing yang diperiksa 50 daripadany­a warga Yaman, Pakistan dan Syria (32), Bangladesh (29), India (27), Nepal (22), Palestin (17), Sudan (10), Indonesia ( tujuh), Libya dan Nigeria (enam), masingmasi­ng lima dari Arab Saudi, Iran, Iraq dan Sri Lanka, manakala selebihnya dari negara lain, katanya.

Bercakap kepada media semasa operasi itu malam kel- marin, Ayob Khan berkata operasi itu dijalankan bagi menjejaki warga asing yang disyaki ada kaitan dengan kegiatan keganasan menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, selepas operasi sama dijalankan di Masjid India, Kuala Lumpur, pada Isnin lepas.

Beliau berkata, seramai 200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu antaranya Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutua­n, Unit Pemusnah Bom, Interpol, Unit Tindakan Khas, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftara­n Negara.

Seperti operasi yang dijalankan sebelum ini, beliau berkata turut serta dalam operasi kali ini adalah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom yang meminjamka­n alat pengesan radioaktif ‘Personal Radiation Detector’. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia