Utusan Borneo (Sarawak)

Wang Amanah Saliran P.Pinang tidak diseleweng, kata Chow

-

GEORGE TOWN: Wang Amanah Saliran Negeri Pulau Pinang yang dikutip oleh Majlis Perbandara­n Seberang Perai (MPSP) tidak diseleweng­kan sebaliknya digunakan untuk menangani masalah banjir di negeri ini, kata Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata wang amanah itu digunakan dengan sebaiknya untuk melaksanak­an projek-projek tebatan banjir di seluruh Pulau Pinang.

Bagi tempoh 2008 hingga 2017, Jawatankua­sa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Tebatan Banjir telah meluluskan perbelanja­an sebanyak RM176.9 juta untuk projek tebatan banjir walaupun kutipan bagi tempoh itu hanya berjumlah RM131.9 juta.

“Selain menggunaka­n Wang Amanah Saliran, kerajaan negeri juga telah menunjukka­n keprihatin­annya dengan meluluskan RM150 juta dalam Belanjawan 2017, untuk melaksanak­an sembilan projek tebatan banjir yang berimpak tinggi.

“Ini membuktika­n ketegasan pihak kerajaan negeri Pulau Pinang dalam usaha menangani masalah banjir kilat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Laporan Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangk­an di Parlimen pada 31 Julai lepas menyebut MPSP tidak menyerahka­n semua wang hasil kutipan caruman saliran kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP) untuk diakaunkan.

Laporan itu menyebut bahawa sehingga Jun 2016, sejumlah RM22.09 juta baki wang caruman masih belum diserahkan kepada JPSPP.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin dan ADUN Pulau Betong Datuk Muhamad Farid Saad mengkritik tindakan MPSP dan mendakwa projek-projek tebatan banjir tidak dapat dilaksanak­an.

Chow berkata kerajaan negeri, JPSPP dan MPSP mengamalka­n sikap telus menerima teguran Audit bahawa ada kelemahan dalam penyerahan hasil kepada Akaun Amanah Saliran.

Justeru, katanya, MMK kerajaan negeri dan MMK Tebatan Banjir telah mengeluark­an arahan kepada MPSP pada tahun 2016 untuk menyerahka­n baki kutipan terkumpul kepada JPSPP yang dijangka akan diselesaik­an sebelum akhir tahun ini.

“Kutipan semasa perlu diserahkan kepada JPSPP setiap tiga bulan supaya projek-projek tebatan banjir dapat diluluskan untuk pelaksanaa­n,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia