Utusan Borneo (Sarawak)

Kembara haji bertemu rakyat Malaysia berbasikal

-

ANGGOTA Ekspedisi Kembara Inspirasi Haji begitu terkejut dan pada masa yang sama berasa gembira apabila bertemu seorang rakyat Malaysia sedang berbasikal di lebuh raya Lian Huo atau dikenali sebagai G30 minggu lalu.

Dia mengayuh di tengah-tengah cuaca panas pada 31 Julai.

Dia dikenali sebagai rakyat Malaysia apabila anggota kembara yang menaiki dua pacuan empat roda melepasiny­a dan terlihat Jalur Gemilang kecil tertegak di belakang basikalnya Le Run.

Anggota kembara lalu menyuruhny­a berhenti. Rupa-rupanya dia ialah Teo Yong Keat, 26, dari Bukit Tinggi, Klang, Selangor yang dalam perjalanan memenuhi impiannya untuk ke Sepanyol.

Teo ketika ditemui dalam perjalanan menuju Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang sementara anggota kembara yang memulakan perjalanan untuk ke Tanah Suci pada 18 Julai lalu sedang menuju bandar raya Kumul di wilayah yang sama.

Kedua-dua pihak lalu rancak bertukar-tukar cerita dan maklumat mengenai pengembara­an masing-masing.

Teo dijangka tiba di Sepanyol dalam tempoh setahun sejak mula mengayuh pada 1 Mac.

Dia berkata dia tidak membawa banyak beban hanya barangan keperluan penting sambil berhenti untuk bermalam di tempat dia rasa sesuai.

“Saya membuat kawan di sepanjang perjalanan dan kini saya berbasikal bersama seorang rakan dari China yang menemani saya di negara ini,” katanya kepada Bernama.

Bekas arkitek ini berkata, dia mula bercadang untuk mengembara lima tahun lalu tetapi mendapat tentangan ibu bapanya, namun selepas terus dipujuk, mereka akhirnya melepaskan­nya.

“Saya selalu berhubung dengan mereka setiap dua hari kerana saya merindui mereka dan mereka juga merindui saya. Mereka tahu saya mampu mengurus dan menjaga diri saya,” katanya.

Ditanya mengapa Sepanyol menjadi pilihannya, Teo berkata: “Saya suka mengembara dan Sepanyol berada paling hujung di Eropah.”

Dia sebelum ini berada di Thailand, Laos dan Kemboja.

Cuaca panas di China ketika ini tidak menjadi penghalang baginya.

“Saya perlu minum banyak air dan walaupun kadang-kadang cuaca menjadi terlalu sukar, saya masih teruja untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Antara pengalaman manisnya ialah apabila sami Buddha di Thailand menawarkan makanan yang mereka kumpul pada hari itu kepadanya.

Bagi memastikan keselamata­nnya, dia akan menukar kedua-dua tayarnya pada setiap 5,000 kilometer di samping hanya mengayuh pada siang hari dan berhenti pada waktu malam terutama di lebuh raya yang gelap tanpa lampu.

Sebelum sampai ke Sepanyol, Teo antara lain perlu melalui Asia Tengah, Turki dan beberapa negara Eropah.

Pengarah Projek Kembara, KhirAriffi­n turut gembira dapat bertemu Teo yang juga berhasrat memenuhi impian pengembara­annya.

“Kita berharap Teo akan berjaya memenuhi impiannya dan membuat Malaysia berbangga,” katanya.

Ekspedisi Kembara Inspirasi Haji telah membuat lebih daripada 9,000 kilometer perjalanan dengan 7,000 kilometer lagi harus diteruskan sebelum sampai di Dubai untuk menamatkan perjalanan ke Jeddah menerusi pesawat bagi melakukan ibadah haji September ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia