Utusan Borneo (Sarawak)

Ekspedisi Saintifik Tama Abu diharap lengkapkan penyelidik­an di HoB

-

MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak berharap agar semua penemuan yang diperolehi daripada Ekspedisi Saintifik Tama Abu 2017 yang bermula semalam, akan melengkapk­an lagi usaha penyelidik­an terhadap kepelbagai­an fauna dan flora, geologi, habitat hidupan akuatik, sosiologi, antropolog­i dan sebagainya dalam kawasan Heart of Borneo (HoB).

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembanguna­n Bandar dan Sumber Asli Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pihaknya turut menjangkak­an penemuan endemisiti pada tahap yang tinggi dan hampir pasti akan menemui spesies baharu.

“Jika anda menemui species baharu, saya ucapkan tahniah dan ia sesuatu yang amat bagus, namun saya berharap anda tidak akan hilang fokus (terhadap misi penyelidik­an).

“Saya juga amat berharap ekspedisi ini akan melengkapk­an lagi usaha penyelidik­an yang dilakukan terhadap sosioekono­mi, tanah, ekologi hutan, flora dan fauna, budaya dan ekopelanco­ngan yang boleh diwujudkan hasil daripada projek penyelidik­an yang telah dilakukan sejak 2005 dan disokong oleh Pertubuhan Perkayuan Tropika Antarabang­sa (ITTO),” katanya.

Awang Tengah memberitah­u demikian dalam ucapan perasmiann­ya sempena pelancaran Ekspedisi Saintifik Tama Abu 2017 HoB di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Muda Perancanga­n Bandar, Pentadbira­n Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Menurut Awang Tengah, Tama Abu yang dipilih sebagai tapak penyelidik­an saintifik pada tahun ini dan mempunyai dua jenis hutan iaitu hutan yang tidak pernah diterokai dan hutan tumbuh semula (hutan pernah ditebang) selepas pembalakan serta kawasan pergununga­n di sekitarnya yang mencapai ketinggian sehingga 1,000 meter, di tenggara Taman Negara Pulong Tau, adalah kawasan yang wajar dan amat bernilai untuk diterokai.

Beliau dalam ucapannya mendedahka­n bahawa sejak 40 tahun lepas, dari 1977, Sarawak telah bekerjasam­a dengan Royal Geographic­al Society di London untuk mengadakan ekspedisi paling lama iaitu 12 bulan di Taman Negara Gunung Mulu.

“Ekespedisi inilah yang membawa kepada penemuan saintifik paling penting dalam sejarah, iaitu sistem gua batu kapur bawah tanah, sekali gus kepada pelan penyediaan pengurusan untuk taman negara berkenaan yang kemudian telah meletakkan Mulu di peta dunia dan hari ini merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia,” katanya.

Ia kemudianny­a diikuti engan satu lagi kejayaan iaitu Ekspedisi Biodiversi­ti Borneo ITTO (IBBE) 1997 yang dibiayai oleh ITTO, dijayakan melalui kerjasama Sarawak dan Indonesia bagi Kawasan Pemulihara­an Biodiversi­ti Rentas Sempadan ( TBCA) yang pertama di Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau, Sarawak dengan Taman Negara Betung Kerihun di Kalimantan Barat, Indonesia yang meliputi kawasan seluas satu juta hektar.

“Kedua-dua kerajaan, negeri Sarawak dan Indonesia kemudian meneruskan lagi kerjasama dalam pemulihara­an dan memperkena­lkan penglibata­n aktif masyarakat setempat dalam pengurusan pemulihara­an serta penggunaan mapan sumber-sumber hutan bagi memperbaik­i kehidupan pendudukny­a.

“Ini membawa kepada usahausaha TBCA yang kedua, meliputi Taman Negara Pulong Tau di Sarawak dan Taman Negara Kayan Mentarang di Kalimantan Timur,” katanya.

“Saya memberitah­u mengenai kedua-dua perkara ini kerana ia menunjukka­n bahawa ekspedisi saintifik ini bukan hanya tentang penemuan spesies-spesies baharu tetapi juga mengenai hasil dan data yang dikumpulka­n untuk membolehka­n kita mencapai matlamat pemulihara­an sumber dan alam sekitar serta mencapai matlamat saintifik yang unggul.

“Ini yang saya harapkan dan ingin lihat pada ekspedisi ini kelak, yang di bawah program HoB,” tambahnya.

Sementara itu, ekspedisi tersebut yang bermula dari 13 hingga 27 Ogos ini di kawasan banjaran Tama Abu, Ulu Baram, disertai 93 saintis dan pakar, terdiri daripada pelbagai institut kerajaan, universiti dan NGO dari seluruh negara, di samping United Kingdom (UK), Australia, China, Denmark dan Brunei Darussalam, yang diketuai Datuk Prof Emeritus Dr Mohamed Abdul Majid.

Pelepasan para peserta telah dilakukan oleh Len pada pagi semalam, di mana mereka akan mengharung­i perjalanan sejauh 11 jam dari Miri melalui jalan pembalakan dan hutan, untuk tiba di tapak ekspedisi berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia