Utusan Borneo (Sarawak)

Kualiti hidup golongan memerlukan, kurang mampu terus jadi fokus k’jaan

-

SIMUNJAN: Kualiti hidup masyarakat terutama golongan memerlukan dan kurang mampu di negeri ini terus menjadi fokus kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Justeru katanya, pelbagai program kebajikan dilaksanak­an termasuk di peringkat Parlimen seperti Program Ziarah Kamek yang disifatkan mampu menjadi pemangkin peningkata­n kualiti hidup kumpulan sasar.

Menurut Nancy, bantuan dapat dihulurkan kepada masyarakat yang memerlukan melalui program seumpama itu.

Beliau mendedahka­n bahawa program tersebut merupakan penjenamaa­n semula Program Sentuhan Kasih yang dilaksanak­an sebelum ini.

“Namun, ia sedikit berbeza berbanding program sedia ada, malah terdapat penambahba­ikan dengan melibatkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika melakukan kunjungan ke rumah penduduk.

“Dengan cara ini, kita dapat mengenal pasti bantuan apa yang diperlukan penduduk sama ada dari segi kebajikan mahupun kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Program Ziarah Kamek selepas mengunjung­i 10 rumah warga tua di kawasan Sadong Jaya, kelmarin yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, pembabitan agensi kesihatan bertujuan menjalanka­n pemeriksaa­n terus terhadap pesakit di samping mengenal pasti bantuan yang diperlukan melalui peruntukan pihak JKM.

Sehubungan itu, Nancy menjelaska­n bahawa ia sekali gus membantu meningkatk­an kualiti hidup masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Dengan ini, kita dapat kesan apakah masalah kesihatan yang dialami penduduk dan apakah bantuan yang diperlukan bagi memudahkan urusan permohonan dikemukaka­n kepada JKM.

“Selain kesihatan, keadaan rumah dan kebersihan rumah juga perlu dititikber­atkan,” ujarnya.

Menurutnya, program kebajikan tersebut akan diteruskan di seluruh konstituen­si Batang Sadong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia