Utusan Borneo (Sarawak)

Tukar baucar kepada pakaian seragam sekolah yang sama nilai dengannya

-

SIBU: Penerima Baucar Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak dinasihati supaya menukar baucar kepada pakaian seragam sekolah yang sama nilai dengan baucar tersebut.

Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata mulai tahun ini kerajaan negeri memperuntu­kkan sejumlah RM4 juta untuk baucar bernilai RM200 setia satu kepada 20,000 pelajar di seluruh negeri ini.

“Kepada ibu bapa dan pelajar pastikan baucar yang diterima daripada Yayasan Sarawak ditukar dengan pakaian seragam sekolah sama nilainya dengan baucar RM200 itu.

“Dengan nilai baucar RM200 pelajar boleh dapat pakaian sekolah sekurangku­rangnya dua atau tiga pasang dengan kualiti lebih baik.

“Oleh itu, jangan terima jika penjual menawarkan harga tidak berbaloi dengan nilai baucar. Kalau boleh pergi ke kedai lain yang memberikan tawaran lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaia­n Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah 2017 kepada 150 pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Bawang Assan di Dewan Sekolah Kebangsaan ( SK) Agama Sibu di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan E- Dagang dan Menteri Kewangan Kedua yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh.

Hadir sama Pegawai Daerah Sibu Awang Yusup Awang Mostapha, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Wong Chong Kung dan Temenggung Stanley Geramong.

Menurut Azmi, terdapat kira-kira 70 kedai atau premis perniagaan di seluruh negeri sanggup menerima baucar ini seperti baucar-baucar bantuan kerajaan yang lain.

Katanya, baucar itu diterima hampir kebanyakan kedai di seluruh negeri seperti di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang.

“Pemberian Baucar Pakaian Seragam Sekolah adalah pendekatan terbaharu Yayasan Sarawak mengagihka­n bantuan persekolah­an kepada pelajar di negeri ini.

“Baucar ini kita serahkan kepada Pejabat Residen dan mereka berusaha dengan Pusat Khidmat DUN masing- masing mengagihka­n baucar itu kepada penerima,” jelasnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa baucar itu harus ditukar sebelum 30 November depan kerana selepas itu baucar tersebut tidak laku lagi.

Azmi memberitah­u, Yayasan Sarawak dengan kerjasama agensi kerajaan terlibat berusaha mengagihka­n baucar itu lebih awal pada tahun depan iaitu pada Mei akan datang.

“Tetapi, terpulang kepada ADUN masing-masing untuk menyerahka­n baucar itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia