Utusan Borneo (Sarawak)

Jaringan lewat Murgia pastikan Lazio julang trofi Piala Super Itali

-

ROM, Itali: Lazio menewaskan Juventus buat kali pertama dalam tempoh empat tahun apabila menang 3-2 pada aksi Piala Super Itali dengan gol kemenangan pada minit kecederaan oleh pemain gantian, Alessandro Murgia Sabtu lepas.

Ciro Immobile meletakkan Lazio 2-0 di hadapan dengan tendangan penalti pada minit ke-31 dan tandukan pada minit ke-52 sebelum Paulo Dybala merapatkan kedudukan dari satu tendangan percuma pada minit ke-85 dan mengikat kedudukan dari satu tendangan penalti lewat buat juara Serie A Itali dan Piala Itali itu.

Tetapi Lazio menjaringk­an gol kemenangan pada minit kecederaan selepas Murgia menyempurn­akan hantaran Jordan Lukaku, adik penyerang Manchester United, Romelu.

“Pasukan saya selayaknya kejuaraan ini, mereka beraksi dengan sangat hebat dan selayaknya menjulang trofi di hadapan penyokong kami sendiri,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi.

“Kemenangan ini akan memberikan kepuasan kepada kami untuk seumur hidup kami.”

Jurulatih Juventus, Massimilia­no Allegri mengakui pasukannya gagal menyerlah seperti kebiasanny­a ketika Lazio mencipta kemenangan pertama ke atas Juventus sejak Januari 2013.

“Lazio selayaknya menang. Kami hanya mula bermain dengan baik pada 30 minit terakhir,” kata beliau.

Juventus, naib juara Liga Juara-Juara musim lepas, bermain dengan baik dari sepak mula perlawanan di Stadium Olimpik dan boleh membuka jaringan seawal minit pertama tetapi cubaan Juan Cuadrado dari jarak dekat ditepis penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha.

Strakosha sekali lagi beraksi tangkas apabila menepis cubaan Gonzalo Higuain tidak lama selepas itu.

Tetapi Lazio, yang tewas 0-2 kepada Juventus di final Piala Itali musim lepas, mengimbang­i permainan dan membuka jaringan pada minit ke-31 apabila Immobile dijatuhkan oleh penjaga gol Gianluigi Buffon dalam kotak penalti, dengan pemain itu sendiri menyempurn­akan tendangan penalti.

Tujuh minit selepas rehat, Immobile menambah jaringan dengan satu tandukan cantik.

Higuain tidak bernasib baik untuk merapatkan kedudukan lebih awal apabila cubaannya tersasar sebelum Dybala merapatkan kedudukan dari satu tendangan percuma cantik sebelum mengikat kedudukan dari satu tendangan penalti lewat selepas Alex Sandro dijatuhkan dalam kotak penalti.

Tetapi Lazio menjaringk­an gol kemenangan ketika tiga minit dalam masa kecederaan untuk mengesahka­n kejuaraan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia