93 saintis, penyelidik berlepas ke Banjaran Tama Abu
MIRI: Seramai 93 saintis dan penyelidik menyertai Ekspedisi Saintifik Tama Abu 2017 Heart of Borneo (HoB) berlepas dari sini kelmarin menuju ke tapak ekspedisi di kawasan Banjaran Tama Abu, Baram bermula 13 hingga 27 Ogos ini.
Pasukan saintis dan penyelidik itu diketuai Datuk Profesor Emeritus Dr Mohamed Abdul Majid menuju ke lokasi Long Labid, Raan Ngela dan Long Aar di Miri.
Semua peserta dilepaskan oleh Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Sapuan Ahmad di hadapan sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.
“Seramai 93 saintis dan penyelidik pelbagai institut kerajaan, universiti dan NGO dari seluruh negara selain United Kingdom, Australia, China, Denmark dan Brunei mengambil bahagian pada ekspedisi ini,” katanya.
Berbanding Ekspedisi Saintifik Long Banga diadakan tahun lalu, jumlah peserta ekspedisi tahun ini menyak- sikan peningkatan sekali gus menunjukkan minat saintis dan penyelidik antarabangsa terhadap kepentingan dan keunikan yang terdapat di hutan semula jadi negeri ini.
Menurut Sapuan, Ekspedisi Saintifik Tama Abu 2017 bertujuan mengesahkan kewujudan badak sumbu dan ‘temadau’ atau nama saintifiknya, Bos Javanicus, iaitu kerbau liar yang dilaporkan wujud di beberapa lokasi sukar ditemui di kawasan banjaran Tama Abu.
“Selain itu, ia juga bertujuan mendokumentasikan pelbagai hidupan liar, penemuan baharu terhadap fauna dan flora untuk menilai keperluan masa depan bagi usaha-usaha pemuliharaan di kawasan HoB ini,” jelas beliau.
Di samping itu, beliau menegaskan ekspedisi itu mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan dan menganjurkan acara menginspirasi penyertaan masyarakat tempatan dalam pemuliharaan flora dan fauna.
Selain mengkaji impaknya terhadap pelancongan di Banjaran Tama Abu, meningkatkan pemuliharaan serta melakukan kajian sistematik mengenai sosiologi dan antropologi suku-suku tempatan.
Tapak ekspedisi terletak kira- kira 130km, 11 jam perjalanan dari Miri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) melalui jalan-jalan pembalakan dan hutan menuju ke lokasi tersebut.
Katanya, JHS mula mengenal pasti tapak dan penyediaannya di Banjaran Tama Abu, awal tahun ini.
“Masyarakat sekitar di Long Peluan dan Long Beruang turut terlibat dalam ekspedisi ini membantu menjayakan misi pasukan itu mengkaji kepelbagaian fauna dan flora, tanah, air, geologi, masyarakat setempat, sejarah serta arkeologi dan produk ekopelancongan yang boleh dihasilkan,” jelas beliau.