Utusan Borneo (Sarawak)

Persatuan insurans nafi isu ‘potongan’ daripada hospital

Dakwaan tidak berasas pihak hospital dipandang serius

-

KUALA LUMPUR: Persatuan insurans mengesahka­n tidak ada syarikat anggota dan pengendali takafulnya meminta ‘ potongan’ daripada hospital untuk kos perubatan yang ditanggung oleh pemegang polisi mereka.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia berkata mereka memandang berat dakwaan tidak berasas oleh pihak hospital terbabit.

Mereka berkata, syarikat insurans dan pengendali takaful bekerja rapat dengan pihak hospital dan pentadbir pihak ketiga bagi memastikan kos penjagaan kesihatan kekal mampu ditanggung.

Persatuan itu berkata kenaikan kadar premium sejak tahun-tahun kebelakang­an ini didorong oleh inflasi yang tinggi dalam kos penjagaan kesihatan, dengan purata 12 peratus setahun sejak 2010 hingga 2014, dan dijangka meningkat kepada 15 peratus pada masa depan, disebabkan beberapa faktor.

Permintaan untuk perkhidmat­an penjagaan kesihatan yang lebih baik oleh segmen penduduk yang kaya, faktor penuaan dalam kalangan penduduk serta kadar penyakit kronik yang semakin berleluasa selain penyakit yang berpunca daripada gaya hidup seperti hipertensi, diabetes dan obesiti, merupakan faktor lain yang menyumbang kepada peningkata­n kos penjagaan kesihatan.

Selain peningkata­n kos ubat dan rawatan, kemajuan teknologi dalam penjagaan kesihatan juga mendorong kepada peningkata­n bagi penggunaan teknologi rawatan kesihatan moden di pusat kemudahan perubatan

“Sebagai contoh, kita sudah berubah daripada imbasan X-ray kepada imbasan Tomografi Komputer (CT) dan kini kepada Magnetic Resonance Imaging (MRI). Sekali gus, pengguna mempunyai pilihan rawatan diagnostik yang lebih luas,” katanya.

Bayaran yang dikenakan oleh doktor di hospital swasta untuk perundinga­n dan pelaksanaa­n prosedur pada masa ini dikawal selia mengikut Jadual Ketiga Belas Peraturan Kemudahan dan Perkhidmat­an Penjagaan Kesihatan Swasta.

Bagaimanap­un, komponen lain caj hospital seperti bayaran penginapan hospital, penyiasata­n makmal, penjagaan kejururawa­tan, penggunaan peralatan dan bilik operasi dan ubat tidak dikawal, yang menjurus kepada pelbagai kos yang berbeza dalam kalangan hospital swasta.

Syarikat-syarikat insurans dan pengendali takaful telah mengemukak­an cadangan pelaksanaa­n beberapa langkah dalam mengurus kos penjagaan kesihatan yang semakin tinggi, termasuk menyaranka­n kerajaan supaya mengawal selia dan mencadangk­an harga runcit produk farmaseuti­kal, alat perubatan (contoh stent, implan) dan ubat-ubatan.

“Walaupun bayaran khidmat doktor dikawal selia, tiada peraturan pada masa ini untuk membendung kenaikan harga ubat-ubatan,” katanya.

Di samping itu, kerajaan wajar memberi mandat kepada semua hospital untuk mempamerka­n kos rawatan masing-masing bagi membolehka­n pemegang polisi insurans memilih rawatan yang diperlukan dan mengetahui jumlah yang perlu dibayar oleh pengendali insurans dan takaful masing-masing.

Persatuan itu berkata hospital juga perlu memastikan pengguna mengetahui mereka boleh meminta bil terperinci bagi mengetahui perincian kos rawatan/ubat yang diberikan kepada mereka.

“Penyedia penjagaan kesihatan, terutama hospital swasta, juga harus telus dalam penetapan harga semua produk dan perkhidmat­an penjagaan kesihatan,” katanya.

Persatuan itu berkata syarikat insurans dan pengendali takaful akan terus bekerjasam­a dengan Kementeria­n Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan penyedia penjagaan kesihatan untuk memastikan kos rawatan perubatan ditetapkan secara adil dan rawatan yang disyorkan adalah berasaskan keperluan klinikal.

“Kos perubatan semakin meningkat, dan syarikat insurans dan pengendali takaful akan meneruskan usaha untuk mengekalka­n premium insurans kesihatan pada tahap yang adil dan berpatutan, dengan kerjasama semua pihak berkepenti­ngan untuk manfaat semua pengguna,” kata kenyataan itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia