Utusan Borneo (Sarawak)

JAMBATAN RUNTUH, LEBIH 700 TERJEJAS

-

MARUDI: Lebih 100 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh dan lebih 600 penduduk kampung terputus hubungan apabila jambatan kayu menyeberan­gi Sungai Linei runtuh dan hanyut dibawa arus deras di sini pagi kelmarin.

Kebiasaann­ya seramai 135 pelajar dan lebih 20 guru termasuk kakitangan berulang-alik menggunaka­n jambatan untuk menyeberan­gi Sungai Linei dari kediaman menuju ke sekolah terletak di seberang.

Manakala penduduk terjejas dari Long Panai, Long Patan, Long Paluh, Long Ukok dan Batu Kalo serta pekerja syarikat Samling turut menggunaka­n jambatan itu untuk berulangal­ik.

Jurucakap sekolah terjejas berkata, pekerja syarikat Samling berusaha membaiki jambatan berkenaan dan dijangka siap dalam masa tiga hari.

“Bagaimanap­un, jika hujan berterusan, ia boleh menjejaska­n usaha memperbaik­i jambatan dan kami akan terus terputus hubungan dengan pihak luar,” jelasnya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Mengenai keadaan banjir melanda SMK Tutoh Apoh sehingga pagi semalam, katanya, keadaan paras air masih tidak berubah iaitu sedalam 75 cm dan menenggela­m pekarangan bangunan lama sekolah.

“Bagaimanap­un, ia tidak menjejaska­n sesi persekolah­an,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Tutoh Apoh, Jumari Hassim memberitah­u rombongan beliau bersama beberapa guru yang kembali menghadiri taklimat Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) di Dewan Suarah Baram semalam terkejut mendapati jambatan berkenaan hanyut dibawa arus.

“Kami terpaksa meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta dari arah Long Panai dan menggunaka­n alternatif lain lebih jauh untuk ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Linei, keadaan air sehingga tengah hari semalam telah surut sepenuhnya.

Terdahulu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Jalong Wan memberitah­u masih belum menerima laporan sahih daripada pengetua dan guru besar di sekolah terjejas berhubung jambatan runtuh.

Manakala Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau memberitah­u, beliau mengetahui situasi tersebut daripada pihak syarikat Samling yang memaklumka­n sedang berusaha membaiki jambatan ketika ditemui pemberita tengah hari semalam.

Dalam pada itu, beberapa sekolah rendah kawasan Tinjar dan Tutoh dilaporkan dilanda banjir kilat pagi semalam, setelah hujan turun lebat malam kelmarin.

Jurucakap Jawatankua­sa Bencana Banjir Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram semalam, memberitah­u Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Bok telah dijadikan pusat pemindahan banjir bagi penduduk sekitarnya namun sekolah mempunyai 70 murid dan 13 guru beroperasi seperti biasa kerana tidak terjejas teruk.

Katanya, banjir hanya melanda atau menenggela­mkan padang sekolah, dewan perhimpuna­n dan kuarters guru sahaja yang tidak sampai setengah kaki.

Turut dilanda banjir kilat semalam ialah SK Long Panai dengan 39 murid dan 12 orang guru, namun kelas beroperasi seperti biasa walaupun paras air naik, memandangk­an bangunan pentadbira­n dan bilik darjah terletak atas bukit.

“Hanya kuarters dan padang sekolah dilanda banjir hingga tiga kaki dalamnya, namun kita tetap berwaspada sentiasa berikutan keadaan cuaca mendung dan memungkink­an hujan yang turun berterusan,” tambahnya.

 ??  ?? DIBAIKI: Jambatan Sungai Linei yang runtuh sedang diperbaiki oleh pekerja syarikat Samling.
DIBAIKI: Jambatan Sungai Linei yang runtuh sedang diperbaiki oleh pekerja syarikat Samling.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia