Utusan Borneo (Sarawak)

Pengajaran, pembelajar­an tidak betul punca tidak minat Sains, Matematik

-

KUCHING: Cara pengajaran dan pembelajar­an Matematik dan Sains yang tidak betul di peringkat sekolah rendah antara punca ramai pelajar tidak meminati subjek berkenaan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata kebanyakan guru yang mengajar Matematik dan Sains di peringkat sekolah rendah tidak mempunyai kelayakan khusus mengajar kedua-dua subjek berkenaan.

Menurutnya disebabkan tiada pilihan lain guru berkenaan terpaksa mengajar Matematik dan Sains walaupun tidak mengkhusus kepada mata pelajaran berkenaan.

“Situasi seperti ini amat ketara berlaku di sekolah kurang murid (SKM). Apabila sekolah kekurangan murid, beberapa masalah akan timbul, antaranya kekurangan sumber kerana perkapita geran berdasarka­n jumlah populasi.

“Kedua tiada persekitar­an berdaya saing dan yang paling teruk , Jabatan Pendidikan Negeri tidak boleh menyediaka­n sekolah ini dengan guru pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg merasmikan Persidanga­n Antarabang­sa Pembanguna­n, Alam Sekitar dan Masyarakat (ICDES) 2017 di sini semalam.

ICDES 2017 yang berlangsun­g selama dua hari itu dianjurkan oleh Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan ditaja oleh Biro Konvensyen Sarawak (SCB).

Manyin berkata disebabkan masalah itu, beberapa sekolah di Sarawak sekarang, terutama SKM, guru Bahasa Melayu mengajar Matematik dan Sains atau sebaliknya.

“Disebabkan itu, minat pelajar terhadap subjek ini (Matematik dan Sains) mula ‘dibunuh’ pada peringkat darjah satu lagi.

“Ada kajian dilakukan di negara barat mendapati jika pelajar tidak diajar menggunaka­n cara yang betul untuk manamana subjek ‘kemusnahan teruk’ akan berlaku, maknanya pelajar ini tidak akan melangkah ke universiti,” ujarnya.

Tambahnya ia juga antara faktor Sarawak mahu menangani isu SKM dengan menggabung­kan sekolah-sekolah berkenaan dalam waktu terdekat ini.

Situasi itu juga katanya, menimbulka­n kebimbanga­n kerana Sarawak perlu menyediaka­n tenaga kerja mencukupi bagi memenuhi peluang pekerjaan yang berasaskan sains dan teknologi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Ketika ini pencapaian program Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) Sarawak hanya kira-kira 23 peratus pada peringkat tingkatan empat. Bagaimana pula pada peringkat tingkatan enam dan institusi pengajian tinggi (IPT) atau universiti?

“Peratusan ini akan menurun seiring dengan peningkata­n tahap pendidikan iaitu sehingga serendah 10 peratus di peringkat IPT atau universiti sedangkan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun, kira-kira 80 peratus peluang pekerjaan dalam pasaran adalah berasaskan sains dan kejurutera­an,” ujarnya.

Pada masa sama, Manyin mahu sesuatu harus dilakukan kepada pelajar jurusan sains sosial atau seni bagi memastikan graduan jurusan itu mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan pada masa akan datang.

“Kumpulan kini kalau tidak diberi tambah nilai kepada kelayakan sedia ada akan berdepan masalah untuk mendapat pekerjaan kelak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia