Utusan Borneo (Sarawak)

Budayakan universiti satu pendekatan baik: Jainab

-

KOTA KINABALU: Konsep membudayak­an universiti satu pendekatan yang baik untuk pendedahan kepada anak-anak di peringkat sekolah rendah.

Menteri Pembanguna­n Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, ia adalah peluang kepada golongan berkenaan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai universiti pilihan mereka kelak.

“Saya amat yakin dan pasti pengalaman ini akan membuka mata dan minda anak-anak untuk melihat jauh ke hadapan dalam menerokai alam pembelajar­an,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Selangkah ke Menara Gading Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah ( SeMeGa@ UiTM Sabah) Sekolah Kebangsaan ( SK) Malawa ke UiTM Sabah, Pelancaran Program Anjung Pendidikan Asnaf ( Anpa) dan Pelancaran Program Bulan Kemerdekaa­n Peringkat UiTM cawangan Sabah, di sini pada Selasa.

Jainab berkata, program SeMeGa@UiTM itu adalah satu penggalak motivasi kepada murid sekolah rendah terutamany­a pelajar Tahun 6 SK Malawa.

Program berkenaan jelasnya, memberikan satu pengalaman memasuki kawasan universiti dan melihat dengan lebih dekat kemudahan serta prasarana yang disediakan untuk Pengajaran dan Pembelajar­an (PdP).

Pihaknya amat berbesar hati melihat kerjasama yang terjalin antara UiTM cawangan Sabah dan SK Malawa dalam memupuk dan menanam minat belajar terhadap anak-anak.

“Kerajaan mengalu-alukan dan sentiasa menyokong sebarang usaha institusi-institusi pendidikan di negara ini bagi memartabat­kan anak- anak bangsa kita.

“Menerusi program Anpa kerjasama antara Pusat Zakat Sabah (PZS) dan UiTM cawangan Sabah, ia turut membantu pembanguna­n pendidikan anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampu­an.

“Program ini menyediaka­n dana khas untuk membiayai dan memberikan pendidikan percuma seperti memberikan kelas tambahan percuma kepada murid-murid Tahun 6 SK Malawa,” katanya.

Jainab berkata, usaha membantu dan memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua murid harus dilaksanak­an dengan wajarnya.

Impaknya sangat besar kepada anak-anak kerana mereka juga tidak tersisih daripada mendapat pendidikan yang terbaik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia