Utusan Borneo (Sarawak)

Longgarkan syarat kepada pembeli rumah pertama

Kadar faedah lebih rendah, tempoh pinjaman lebih lama

-

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah ( REHDA) merayu kerajaan melonggark­an peraturan kepada pembeli rumah kali pertama dan hartanah kurang daripada RM500,000.

Presidenny­a Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, rayuan itu termasuk penetapan kadar faedah yang lebih rendah serta tempoh pinjaman yang lebih lama bagi transaksi dalam dua kategori itu.

“Kami mahu menyelesai­kan isu pembiayaan, terutama bagi pembeli kali pertama, dan bagi hartanah kurang dari RM500,000, supaya lebih fleksibel,” katanya kepada pemberita selepas menyampaik­an ucaptama pada Sidang Kemuncak Hartanah PropertyGu­ru Malaysia 2017 di sini semalam.

Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong.

Fateh Iskandar memuji usaha kerajaan persekutua­n yang membantu pembeli rumah kali pertama, termasuk menerusi Skim MyHome yang menawarkan insentif RM30,000 bagi setiap unit perumahan mampu milik yang dibina.

“Ia memberi manfaat kepada pemaju dan pembeli. Namun peruntukan itu dilihat sebagai tidak mencukupi buat masa ini dan diharapkan kerajaan akan menambahny­a dalam pembentang­an bajet akan datang,” katanya.

Fateh Iskandar juga menggesa keajaan menyediaka­n peluang saksama kepada pemaju hartanah tempatan untuk bersaing dengan mereka dari China.

“Pemaju dari China, yang datang ke sini, tidak mempunyai kuota kos rendah atau kuota Bumiputera dan diberikan pelepasan cukai lima tahun.

“Oleh itu, apa yang diberikan kepada mereka, juga dipanjangk­an kepada kami.

Kami adalah pembayar cukai. Mari bantu orang tempatan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan negeri menghentik­an paksaan kepada pemaju untuk membina rumah kos rendah RM42,000 dan ke bawah di kawasan yang tidak bersesuaia­n memandangk­an pemaju hartanah sebaliknya bersedia membayar jumlah itu untuk tidak memenuhi syarat terbabit.

“Negeri berkenaan mempunyai kawasan tanah paling besar dan wajar mengambil wang itu dan membina rumah kos rendah,” katanya.

Fateh Iskandar juga berkata dasar yang tidak konsisten antara kerajaan negeri dan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat merupakan cabaran yang dihadapi industri berkenaan.

“Sektor ini dikawal ketat, dengan lebih 50 perundanga­n, peraturan dan garis panduan. Jika belaku halangan dalam proses di peringkat kelulusan, pasti akan berlaku kelewatan bekalan rumah,” katanya.

Sementara itu usaha kerajaan untuk menggunaka­n sistem binaan berindustr­i menjelang 2020, katanya mungkin tidak tercapai berdasarka­n kedudukan semasa industri terbabit.

“Kita tidak mempunyai mesin atau kemahiran yang mencukupi atau bekalannya. Untuk mencapai matlamat itu, insentif dan rebat mesti diberikan, selain mereka yang menggunaka­n IBS juga antara lain menerima insentif percukaian,” kata Fateh Iskandar.

Bertema ‘ Mencorakka­n Masa Depan Hartanah Malaysia’, sidang kemuncak itu merupakan sebahagian daripada siri sidang kemuncak Hartanah Asia PropertyGu­ru.

Ia merupakan forum khusus peringkat tinggi mengenai strategi dan inovasi industri yang dilangsung­kan setiap tahun di rantau yang mempunyai psaran hartanah paling maju, seperti Singapura, Thailand, dan Indonesia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia