Utusan Borneo (Sarawak)

POLIS SELESAI 15 KES CURI KABEL MILIK SEB, ENAM DICEKUP

-

MIRI: Polis berjaya menyelesai­kan 15 kes kecurian kabel elektrik milik Sarawak Energy Berhad (SEB) susulan tangkapan enam suspek lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 27 hingga 36 tahun dipercayai terlibat beberapa kes kecurian tersebut.

Manakala SEB terpaksa menanggung kos kerugian setengah juta ringgit bagi menyambung semula bekalan elektrik terputus ekoran jenayah yang dilaku kumpulan curi kabel terbabit.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata tangkapan semula suspek pertama dibuat pada Isnin lepas kirakira pada jam 2.20 petang di Lorong Perlis 2-1A, Kuala Baram oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri diketuai Inspektor Nasrul Hadi Jahat selepas diserahkan oleh SEB.

“Susulan tangkapan suspek pertama, polis turut menangkap dua lagi suspek di lokasi sama.

“Turut dirampas sebatang penggali berhulu kayu, tiga batang cangkul, dua batang skop serta sebuah kereta digunakan dalam kegiatan mencuri kabel tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang dijalankan di Balai Polis Pusat Miri semalam. Turut hadir Pengurus Wilayah Utara SEB Ir Tan Joo Kok dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superinten­den Stanley Jonathan Ringgit.

Jelas Lim, turut ditemui adalah komponen kabel milik SEB berupa beberapa plastik pembalut kabel dan wayar kabel yang dipotong dan dilerai kumpulan suspek terbabit di lokasi berkenaan.

Lim berkata setelah soal siasat dijalankan, polis melakukan tangkapan terhadap tiga lagi suspek pada Selasa lepas di dua lokasi berbeza kerana disyaki turut terlibat dengan kegiatan terbabit.

“Turut dirampas ialah sebuah kereta digunakan semasa kegiatan tidak bertanggun­gjawab tersebut.

“Setakat ini, enam suspek berkenaan mendedahka­n telah melakukan lima kes curi kabel milik SEB dan tiga laporan polis telah dikenal pasti,” katanya.

Polis kini giat menjalanka­n siasatan lanjut untuk mengesan saki-baki suspek yang turut terlibat dengan kegiatan ini dan mengesan individu yang membeli kabel curi tersebut.

Di samping itu, Lim mendedahka­n sesetengah suspek yang ditangkap mempunyai pengalaman bekerja sebagai juruteknik elektrik dan mereka mengetahui di mana letaknya kabel elektrik milik SEB.

“Ada juga suspek pernah ditangkap sebelum ini atas kesalahan sama dan ditangkap semula kali ini.

“Keenam-enam suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

 ??  ?? SIDANG MEDIA: Lim (dua kanan), Stanley (kanan) dan Tan (tiga kanan) menunjukka­n barang rampasan yang diperolehi daripada suspek curi kabel elektrik di Kuala Baram.
SIDANG MEDIA: Lim (dua kanan), Stanley (kanan) dan Tan (tiga kanan) menunjukka­n barang rampasan yang diperolehi daripada suspek curi kabel elektrik di Kuala Baram.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia