Utusan Borneo (Sarawak)

CLC untuk anak warga Indonesia akan ditambah

-

KUCHING: Tiga atau empat lagi Pusat Pembelajar­an Komuniti ( CLC) untuk anak warga Indonesia di ladang akan ditubuhkan di Sarawak pada tahun ini.

Konsul Jeneral Republik Rakyat Indonesia di Kuching Jahar Gultom berkata, sehingga kini di Sarawak terdapat 16 CLC dengan seramai 981 murid.

“Kami sudah mendapat permohonan daripada beberapa syarikat perladanga­n untuk menubuhkan CLC dan kami jangkakan mungkin membina tiga atau empat CLC tahun ini.

“Di Sarawak kami menganggar­kan sekitar 2,500 orang anak warga Indonesia di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kemerdekaa­n Indonesia Ke-72 tahun di pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching di sini, semalam.

Namun kata Jahar, disebabkan setiap ladang mempunyai hanya beberapa orang murid sahaja, ia agak mencabar untuk menubuhkan CLC dengan mengambil kira kos yang akan ditanggung.

Jelasnya kadang-kadang satu ladang hanya mempunyai lingkungan lima hingga 10 orang tetapi untuk menubuhkan CLC ia memerlukan syarat atau kelayakan miniumum jumlah murid.

“Jika dalam ladang berkenaan hanya dua atau tiga murid sahaja untuk kami membina CLC memang memakan kos yang tinggi.

“Maka itu kami juga sedang memikirkan pendekatan iaitu kalau jarak mereka dekat, mungkin boleh dikumpulka­n dalam satu CLC,” katanya.

Bagaimanap­un kata Jahar, apa yang menjadi masalah adalah syarikat perladanga­n yang mungkin berbeza.

Katanya mereka perlu meneliti bagaimana mencari penyelesai­an berkenaan agar anak-anak di ladang yang syarikat berbeza dapat dihimpunka­n dalam satu CLC.

CLC diwujudkan untuk anak-anak pekerja ladang warga Indonesia yang berumur enam hingga 12 tahun.

CLC dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Indonesia dan syarikat perladanga­n yang berkenaan manakala lesen dikeluarka­n oleh Kerajaan Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia