Utusan Borneo (Sarawak)

Guna fasiliti JTK untuk cari kerja

Antaranya daftar dengan JobsMalays­ia dengan melayari portal berkaitan

- Oleh Abang Ismail Abang Su’ud

BINTULU: Mereka yang ingin mencari pekerjaan di negara ini dinasihati menggunaka­n fasiliti Kementeria­n Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di tiga tempat merangkumi JTK Sarawak, JTK Sabah dan JTK Semenanjun­g Malaysia bagi mendapatka­n pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, antara fasiliti yang disediakan untuk pencari kerja ialah kemudahan mendaftar diri dengan JobsMalays­ia dengan melayari laman portal berkaitan atau mendaftar dengan JTK yang terdapat di seluruh negara.

Beliau berkata, fasiliti lain ialah 1Malaysia Training Scheme atau Skim Latihan 1Malaysia ( SL1M) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Unit Perancang Ekonomi ( EPU).

“Graduan boleh mendaftar dengan melayari laman sesawang yang disediakan, namun saya menyedari tidak ramai anak Sarawak mengambil peluang dengan mendaftar dalam SL1M ini.

“Melalui skim ini, pihak berkaitan akan dapat membantu graduan mendapatka­n pekerjaan sekali gus mampu berjaya pada masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Kerjaya Kenyalang Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Bintulu semalam.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri Sarawak turut mempunyai skim latihan sendiri dalam meningkatk­an kemahiran graduan di negeri ini dengan harapan ia membantu graduan terbabit memenuhi keperluan tenaga kerja yang ada.

Beliau berkata, daripada statistik penganggur­an direkodkan di negara ini, sekitar 14.2 juta orang mempunyai pekerjaan dan selebihnya 504,100 orang atau 3.4 peratus masih menganggur daripada 31 juta populasi keseluruha­n negara.

“Daripada 504,100 orang yang belum mendapat pekerjaan tersebut, seramai 160,000 orang pula adalah lulusan ijazah,” jelasnya.

Beliau berkata, untuk Sarawak dengan populasi 3.1 juta orang, seramai 1.26 juta mempunyai pekerjaan dan 1.2 juta tidak bekerja atau kurang 42,000 penduduk Sarawak masih menganggur.

“Walaupun jauh daripada angka empat peratus, kita di Malaysia masih mempunyai tenaga kerja penuh namun masih banyak perlu kita buat.

“Saya percaya dengan pembukaan pusat pelaburan di Samalaju ( Bintulu) banyak lagi jawatan akan diwujudkan,” tambahnya.

Justeru katanya, penganjura­n Program Minggu Kerjaya Kenyalang Peringkat Negeri Sarawak akan memudahkan pencari kerja mendapat peluang pekerjaan dan majikan mendapat calon pekerja yang bersesuaia­n dalam satu tempat.

Katanya, program itu bermula di Bintulu diikuti Bekenu ( 19 Ogos), Marudi ( 20 Ogos), Limbang ( 21 Ogos) dan Lawas ( 23 Ogos).

“Sejumlahh 1,518 kekosongan jawatan ditawarkan untuk siswazah dan 10,044 kekosongan jawatan untuk bukan siswazah dengan 94 majikan menawarkan 11,562 kekosongan jawatan kepada pencari kerja semasa program ini berlangsun­g,” katanya.

Turut hadir Pengarah Tenaga Kerja Sarawak Jack Meredu Ko, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementeria­n Sumber Manusia Che Azizah Che Rashid dan Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hamdiah Bakir.

Graduan boleh mendaftar dengan melayari laman sesawang yang disediakan, namun saya menyedari tidak ramai anak Sarawak mengambil peluang dengan mendaftar dalam SL1M ini. Datuk Seri Richard Riot Jaem Menteri Sumber Manusia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia