Utusan Borneo (Sarawak)

10 pendatang maut, pemandu trak berdepan lima tuduhan

-

CHICAGO: Sebuah juri agung di Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengenakan lima tuduhan, termasuk satu tuduhan yang membawa hukuman mati, terhadap pemandu yang didakwa mendalangi satu perjalanan trak mengerikan yang menyaksika­n 10 pendatang mati kelemasan.

James Bradley, 60, sudah berdepan dengan satu tuduhan mengangkut pendatang tanpa dokumen, setelah traknya dijumpai pada bulan lepas berhampira­n sempadan AS-Mexico di Texas dengan pendatang yang disumbat ke dalam trak.

Juri agung persekutua­n menambah tiga lagi pertuduhan berkonspir­asi untuk mengangkut pendatang tanpa dokumen dan satu pertuduhan memiliki senjata api sebagai penjenayah yang disabit kesalahan.

Pelbagai tuduhan tersebut membawa hukuman maksimum dari penjara selama 10 tahun hingga kepada penjara seumur hidup atau kematian.

Daripada 39 pendatang yang dijumpai di dalam treler yang terlalu panas itu, 10 mati termasuk seorang juvana, dua masih dimasukkan ke hospital, dan 22 lagi sedang ditahan sebagai saksi penting, kata pihak berkuasa.

Dalam temu ramah dengan penyiasat, pendatang terbabit menganggar­kan seramai 200 orang pada satu masa berada dalam treler berkenaan, dengan sistem penyejukan yang rosak, yang berjalan dalam keadaan panas terik di Texas.

Pendatang terbabit berkata mereka bergilir-gilir bernafas menerusi satu lubang pengudaraa­n, dan menceritak­an tentang situasi yang semakin mendesak apabila kepanasan di dalam treler bertambah buruk.

“Orang mula memukul dinding treler dan membuat bunyi untuk menarik perhatian pemandu. Pemandu tidak pernah berhenti,” menurut salah seorang pendatang yang dipetik dalam dokumen mahkamah.

Pendatang terbabit dijumpai di belakang trak 18 roda di tempat letak kereta Walmart di San Antonio, apabila salah seorang daripada mereka meminta air daripada seorang pekerja kedai.

Bradley adalah seorang penjenayah yang disabit kesalahan dengan beberapa pertuduhan pada masa lalu, seperti melakukan kecurian dan serangan, bermula dari 1997, lapor akhbar San Antonio Express-News. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia