Utusan Borneo (Sarawak)

Senarai ahli lembaga pengarah PETROS diumum dalam seminggu ini: KM

-

KUCHING: Senarai nama lima ahli lembaga pengarah Petroleum Sarawak atau PETROS akan diumumkan dalam tempoh seminggu ini.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, PETROS ditubuh bagi membolehka­n Sarawak terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas terutama sektor huluan, utama dan hiliran.

“Kita telah lantik lembaga pengarah kita sendiri terdiri daripada lima individu yang merupakan anak tempatan dan selepas itu saya akan menyerahka­n kepada lembaga untuk menguruska­n PETROS.

“Siapa mereka saya akan umumkan dalam tempoh seminggu ini sama seperti ketika saya berjanji untuk menamakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Pembanguna­n Sarawak (DBOS),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita pada sidang media selepas menyaksika­n majlis menandatan­gani kontrak antara Petronas Carigali Sdn Bhd dan Limbungan Brooke di sini, semalam.

PETROS telah ditubuhkan secara rasmi oleh kerajaan negeri sebagai syarikat minyak dan gas milik Sarawak sepenuhnya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata Sarawak meneroka cara lain untuk mendapatka­n manfaat maksimum daripada industri minyak dan gas kepada negeri ini.

“Allahyarha­m Tok Nan kita menuntut bayaran royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus dan saya perlu mengambil pendekatan yang lebih munasabah kerana industri minyak dan gas adalah mencabar.

“Sebab itu, kita bekerjasam­a dengan Perdana Menteri dan Petronas untuk mendapatka­n manfaat maksimum daripada industri ini dalam cara-cara lain selain royalti,” katanya.

Menyentuh mengenai kontrak yang ditandatan­gani antara keduadua syarikat tersebut, Abang Johari percaya ia dapat memeta masa depan negeri ini.

“Sarawak bukan baharu dalam industri minyak dan gas dan tahun ini merupakan 100 tahun pembabitan Sarawak dalam industri ini.

“Saya percaya dalam masa tiga hingga empat tahun ini akan terdapat banyak aktiviti minyak dan gas di negeri ini,” katanya.

Turut hadir, Menteri Muda Pengangkut­an Datuk Dr Jerip Susil Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Pengerusi Limbungan Brooke Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg serta yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia