Utusan Borneo (Sarawak)

Pemandu bas Sukan Sea ditahan selepas disyaki mencuri

-

SHAH ALAM: Polis semalam mengesahka­n telah menahan seorang lelaki yang bertugas sebagai pemandu bas pasukan bola sepak wanita Myammar selepas disyaki mengambil seutas jam tangan milik seorang pegawai pasukan bola sepak wanita Malaysia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata, polis menerima aduan mengenai kehilangan jam yang ditinggalk­an di dalam bas yang membawa pemain bola sepak wanita Malaysia ke Stadium UiTM di sini pada kira-kira jam 10 malam kelmarin sebelum menahan lelaki berusia 26 tahun itu.

“Siasatan polis mendapati jam jenama Swatch edisi Khas Olimpik Rio 2016 berkenaan telah diambil oleh suspek, polis turut menemui semula jam tangan berkenaan di dalam bas yang dipandu oleh suspek.” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Kata Shafien, suspek kini direman sehingga Ahad ini (20 Ogos) dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.

Kelmarin, tular di laman sosial Facebook mengenai penahanan pemandu bas berkenaan sekali gus menyebabka­n kelewatan skuad futsal wanita Myanmar untuk pulang ke hotel penginapan pemain selepas perlawanan menentang Malaysia kelmarin.

Mengulas isu itu, Jawatankua­sa Pengelola Malaysia (MASOC) dalam kenyataan media semalam menyerahka­n kepada Polis Diraja Malaysia ( PDRM) untuk membuat siasatan sepenuhnya.

“MASOC juga ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkomprom­i dengan sebarang isu keselamata­n berkenaan dengan KL2017, terutamany­a berkenaan dengan keselamata­n kontinjen,“menurut kenyataan itu.

“MASOC juga telah mengeluark­an amaran khas kepada kontraktor atau operator pengangkut­an KL2017 untuk membuat saringan semula yang lebih ketat ke atas para pemandu dan petugas mereka agar benar-benar bersih daripada sebarang kesalahan.

“Jika gagal, kami tidak akan teragak- agak untuk mengambil tindakan tegas, seperti penamatan kontrak serta-merta,” menurut MASOC. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia