Utusan Borneo (Sarawak)

Pemain berpengala­man dalam sukan lain menjadi sandaran pasukan ragbi

-

KUALA LUMPUR: Walaupun pernah memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2015 di Phuket, Thailand, Siti Farhanita Maddin, 25, akhirnya memilih untuk beraksi dalam skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bekas pesilat dari Labuan itu berkata beliau memilih untuk beraksi dalam sukan ragbi kali ini bagi mencabar dirinya sendiri selain mengenali sukan ‘lasak’ itu dengan lebih mendalam.

“Saya bermula dengan sukan bela diri ini sejak berumur 15 tahun. Kali ini saya pilih untuk mencabar diri saya sendiri dan saya juga nak perluaskan pengetahua­n dan pengalaman saya dalam bidang sukan yang lain,” katanya kepada Bernama.

Siti Farhanita yang baru memulakan latihan bersama pasukannya sejak April lalu, menganggap kerjasama yang diberi rakan sepasukann­ya sangat baik dalam membantu beliau mengejar apa yang tertinggal semasa latihan.

“Saya akan buat latihan sendiri untuk kejar balik semua ilmu dan latihan yang jurulatih saya berikan pada rakan- rakan saya. Semua beri kerjasama yang baik dan saya banyak belajar daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Normasyira­h Zahari, 36, yang juga bekas atlet bola sepak wanita negara berkata selain daripada minat terhadap sukan ragbi, keinginan untuk bertukar dan mencuba sukan baharu menjadi penyebab utama beliau menyertai sukan itu sejak tahun 2008.

“Saya pernah beraksi ( acara bola sepak) pada Sukan SEA 2007 di Korat tetapi masa itu sukan bola sepak wanita masih belum dikenali. Saya mula bergiat aktif dengan ragbi pada 2008 sehingga sekarang,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi pasukan, Nurmasyira­h berkata pasukannya telah mula berlatih sejak November tahun lepas dan prestasi pasukan semakin baik terutama dari segi skil asas dan keserasian.

Jurulatih pasukan Nik Safuan Ismade Nik Man berkata pelbagai sukan yang pernah diceburi anak buahnya memberi kelebihan kepada pasukan dari segi kekuatan stamina dan ketahanan mental.

“Pengalaman memang berbeza kerana sukan ragbi merupakan ‘contact sport’, berlanggar dan ada sentuhan badan pastinya ia memerlukan ketahanan mental yang kuat. Stamina yang mereka ada juga menjadi kelebihan untuk mereka teruskan dalam ragbi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia