Utusan Borneo (Sarawak)

‘Lelaki samurai’ tetak pengawal presiden

-

TAIPEI: Seorang lelaki bersenjata­kan pedang samurai dan membawa bendera negara China telah menetak seorang pengawal polis tentera di luar pejabat presiden di Taiwan, kata pihak berkuasa.

Lelaki Taiwan itu ditangkap di tempat kejadian menyatakan dia menyuaraka­n pandangan politiknya dan mencuri pedang tersebut dari sebuah muzium sejarah berhampira­n, polis memberitah­u AFP.

Pejabat presiden di tengah ibu negara Taipei merupakan ibu pejabat bagi Presiden Taiwan Tsai Ing-wen yang skeptis terhadap Beijing.

Hubungan dengan pihak berkuasa China tegang sejak beliau menjawat jawatan tersebut pada tahun lepas apabila beliau enggan untuk bersetuju dengan kenyataan Beijing bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada “satu China”.

Pulau ini adalah sebuah negara demokrasi pemerintah­an sendiri, namun Beijing masih lagi melihat ia sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang harus disatukan semula.

Penyerang “mengambil tukul dan memecahkan bekas simpanan pameran di sebuah muzium bersejarah untuk mencuri sebilah pedang samurai”, seorang pegawai polis yang menyiasat insiden itu memberitah­u AFP.

“Sehelai bendera China ditemui di dalam beg sandangnya. Dia menyatakan dia ingin menyampaik­an pandangan politiknya dengan pergi ke pejabat presiden,” menurut pegawai tersebut.

Lelaki itu, hanya dikenali melalui nama keluargany­a Lu, menetak pengawal yang cuba menghalang­nya memasuki kompleks itu dari bahagian pagar tepi, menurut jurucakap presiden Alex Huang.

Lu sekarang sedang disoal siasat oleh polis.

Pengawal yang tercedera berada dalam keadaan stabil selepas segera dihantar ke hospital untuk mendapatka­n rawatan, kata Huang.

Media tempatan melaporkan pengawal itu ditetak di bahagian leher dan pejabat presiden sedang mengadakan acara keluarga bagi kakitangan­nya pada masa itu.

Rakaman TV menunjukka­n Lu dibawa pergi oleh empat pegawai dan dimasukkan ke dalam sebuah kereta polis di pintu masuk tepi ke pejabat presiden, yang ditutup sejak serangan itu.

Kompleks itu dan kawasan sekeliling­nya pernah menjadi sasaran serangan sebelum ini.

Pada November 2014 seorang pemandu cuba memandu keretanya ke arah pintu depan kediaman presiden berhampira­n, menyatakan dia membantah polisi kesihatan oleh pemimpin sebelum Tsai, Ma Ying-jeou, yang memegang kuasa pada masa itu.

Pada Januari 2014 seorang lelaki memandu traknya melalui skrin kalis peluru dan ke arah pintu pagar utama pejabat presiden, menyatakan dia membantah satu perbicaraa­n kehakiman yang melibatkan bekas isterinya. — AFP

 ?? — Gambar AFP ?? DITANGKAP: Suspek dikenal pasti sebagai Lu (tengah) diiringi polis di biro polis tempatan di Taipei semalam selepas dia disyaki menetak seorang pengawal polis tentera dengan pedang samurai di luar pejabat presiden.
— Gambar AFP DITANGKAP: Suspek dikenal pasti sebagai Lu (tengah) diiringi polis di biro polis tempatan di Taipei semalam selepas dia disyaki menetak seorang pengawal polis tentera dengan pedang samurai di luar pejabat presiden.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia