Utusan Borneo (Sarawak)

RUMAH HANGUS, TIDUR RUANG TAMU SELAMATKAN PENGHUNI

-

MIRI: Keputusan tidur di ruang tamu berbanding di bilik telah menyelamat­kan salah seorang penghuni daripada terperangk­ap dalam kebakaran rumah mereka di Lorong Piasau Utara 1H di sini, awal pagi semalam.

Menurut mangsa, 29, ketika sampai di rumah daripada kerja, dia berasa kurang enak ditambah dengan penat bekerja memaksa dirinya tidur di ruang tamu sahaja.

“Saya jarang tidur di ruang tamu, selalunya memang saya akan tidur di bilik walaupun selepas pulang bekerja cuma pada hari ini (semalam) saya tiba-tiba mengambil keputusan tidak tidur di bilik.

“Sebelum kejadian berlaku, bapa saya juga tidak tidur di bilik, dia tidur di kerusi di ruang tamu bersama saya,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Katanya, kebakaran disedari oleh bapa beliau apabila berasa kehangatan haba yang datang dari biliknya.

“Bapa saya tidur di kerusi tepat di hadapan pintu bilik saya. Apabila dia berasa panas, dia melihat sinaran api dari ruang bawah pintu.

“Beliau terus bangun dari tidur dan membuka pintu bilik saya, dan apabila dibuka, bapa terkejut api sudah marak dan sambar-menyambar,” jelasnya.

Bapa mangsa terus mengejutka­n semua penghuni lain yang turut berada di tingkat bawah rumah.

Oleh kerana api marak begitu pantas dari bilik di tingkat atas, penghuni rumah tidak sempat mengambil dokumen dan barangan penting, sebaliknya terus keluar menyelamat­kan diri, tambahnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Law Poh Kiong berkata 10 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Nasir Razali dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng berserta tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 pagi.

Turut memberikan bantuan ialah BBP Miri dengan lapan anggota diketuai PBK II Narain Singh berserta dua jentera.

“Setibanya di situ, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman dua tingkat jenis kayu kekal telah terbakar 90 peratus.

“Bomba menggunaka­n tiga aliran 100 kaki tiga nozel dari jentera FRT BBP Lopeng, manakala satu aliran 100 kaki satu nozel dari jentera FRT BBP Miri untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya.

Law berkata, kebakaran tersebut telah menyebabka­n enam penghuni rumah terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan hilang tempat berteduh.

“Api dapat dikawal sekitar jam 4.35 pagi dan operasi pemadaman tamat pada jam 5.56 pagi.

“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

 ??  ?? PADAM: Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran tersebut.
PADAM: Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia