Utusan Borneo (Sarawak)

Pemvaksina­n haiwan diterus kekang wabak rabies merebak

-

KUCHING: Dalam usaha membendung wabak rabies merebak di negeri ini terutama Bahagian Serian semalam, 130 anjing diberi pelali rabies menerusi Program Pemvaksina­n Haiwan Kesayangan.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sarawak selaku Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri berkata secara kumulatif 32,531 haiwan terdiri daripada 24,889 anjing, 7,597 kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin.

“JPVS juga meneruskan aktiviti penyiasata­n kes dilapor berkaitan wabak rabies,” kata sekretaria­t itu menerusi kenyataan media semalam.

Sebanyak 36,507 survelan aktif dan 890 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak rabies telah dilakukan oleh Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) di Serian, Kuching dan Sri Aman.

Sejumlah 210 sampel terdiri daripada 192 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar diperolehi daripada Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri dihantar ke Pusat Penyelidik­an Veterinar Ipoh untuk ujian virus rabies.

“Setakat kelmarin, 36 sampel anjing dan enam sampel kucing daripada Kuching, Serian dan Sri Aman disahkan positif daripada 180 keputusan sampel yang diterima.

“Operasi bersepadu dikendali Kementeria­n Kerajaan Tempatan bersama JPVS setakat ini telah menangkap 1,099 anjing terbiar di Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Samarahan dan Betong sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar bagi mengekang jangkitan wabak penyakit tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

JPVS juga mengingatk­an orang ramai agar mengelak haiwan peliharaan sama ada telah atau belum divaksin daripada bercampur haiwan terbiar dan memerhati perubahan sikap dari jinak ke ganas, menggigit sebarang benda bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah dan agresif.

Sila hubungi Bilik Op- erasi Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di talian 082443991 / 446991 / 447960 untuk sebarang laporan mengenai wabak rabies.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri memaklumka­n 39 kes gigitan baharu dilaporkan semalam, iaitu sembilan daripada Serian, tiga Sri Aman dan 27 Kuching.

Daripada jumlah tersebut, 31 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing 18 kes dan kucing 13 kes.

Manakala, lapan kes pula melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan iaitu anjing tujuh kes dan kucing satu kes.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku mulai 1 April lepas hingga semalam berjumlah 2,709 kes.

“Secara kumulatif juga, seramai 997 orang telah menerima suntikan vaksin anti-rabies. Untuk makluman, bukan semua kes gigitan yang memerlukan suntikan vaksin anti-rabies.

“Setiap kes gigitan akan dinilai secara klinikal oleh pakar perubatan sebelum ditentukan sama ada vaksin diperlukan atau sebaliknya,” jelas sekretaria­t.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia