Utusan Borneo (Sarawak)

Pesta Makanan Kuching akan dipromosi ke persada antarabang­sa: Abg Johari

-

KUCHING: Kerajaan negeri akan membantu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mempromosi­kan Pesta Makanan Kuching ke peringkat antarabang­sa selari dengan hasrat untuk memacu sektor pelanconga­n Sarawak.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg meminta MBKS menetapkan setiap Ogos untuk penganjura­n pesta tersebut bagi membolehka­n Kementeria­n Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayan, Belia dan Sukan membuat promosi kepada negara luar.

“Saya difahamkan bahawa pelawat yang datang ke pesta ini sejak bermula 28 Julai lalu hingga malam ini ( malam kelmarin) kira-kira 700,000 orang dan ia telah memberi banyak aktiviti yang dapat menarik para pelawat datang ke sini yang mana ada yang datang dari Jepun, China dan tadi saya berjumpa seorang pelawat dari Belanda.

“Bermakna, ini adalah satu pesta yang dapat menarik para pelancong untuk melawat Kuching khasnya pada bulan Ogos,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan ke Pesta Makanan Kuching sempena Festival Kuching di pekarangan Dewan Masyarakat MBKS di sini, malam kelmarin.

Abang Johari memberitah­u, dengan cara itu dapat membolehka­n para pelawat terutama pelancong asing merancang lawatan mereka pada bulan Ogos untuk datang ke negeri ini sekali gus dapat mengunjung­i pesta tersebut.

Mengulas mengenai kejayaan penganjura­n pesta itu, Abang Johari memuji usaha yang dimainkan MBKS dalam membantu menjayakan acara tersebut di negeri ini.

“Saya ingin mengucapka­n tahniah kepada pihak MBKS (Majlis Bandaraya Kuching Selatan) di bawah Datuk Bandar kita Dato James Chan kerana telah mengadakan Pesta Makanan Kuching ini sempena merayakan Bandar Raya Kuching,” tambahnya.

Selain itu, beliau memberitah­u pada September nanti terdapat acara besar seperti Regata Sarawak yang juga antara acara tarikan pelancong di negeri ini.

Menyentuh mengenai kekurangan gerai jualan makanan halal di Pesta Makanan Kuching, Abang Johari menjelaska­n ia bukan satu isu kerana MBKS mengadakan tender terbuka untuk peniaga mendapat tapak jualan di pesta tersebut.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Amar Dato Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan tetamu kehormat lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia