Utusan Borneo (Sarawak)

Semua pihak main peranan bentuk modal insan seimbang

-

KUCHING: Semua pihak perlu memainkan peranan untuk melahirkan modal insan cemerlang akademik di samping memiliki sahsiah diri yang tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kerjasama semua pihak iaitu kerajaan, ibu bapa, sekolah dan guru, maka mudah untuk mencapai matlamat melahirkan dan membentuk generasi cemerlang yang mempunyai akhlak tinggi di negeri ini.

“Objektif kita adalah saya baik di pihak kerajaan, sekolah, guru mahupun ibu bapa yang mana kita mahu anak-anak kita berjaya dengan cemerlang dalam masa sama mempunyai sahsiah diri yang tinggi.

“Sebab itu pentingnya kerjasama agar objektif atau matlamat yang kita mahukan dalam mendidik anak-anak kita tercapai dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaia­n Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah dan Pendidikan 2017 Yayasan Sarawak di sini semalam.

Malah, Fazzrudin memberitah­u kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak telah menyediaka­n RM4 juta peruntukan bagi membantu pelajar di negeri ini dalam pendidikan.

“Peruntukan yang besar ini adalah matlamat kerajaan negeri yang juga mahu melihat anak-anak Sarawak yang memerlukan dapat dibantu untuk berjaya dalam pendidikan,” tambahnya.

Menurutnya lagi, pelbagai pelan dirancang dan dilaksanak­an demi membangunk­an dan meningkatk­an pendidikan termasuk kebajikan pelajar yang memerlukan disediakan oleh kerajaan.

“Saya yakin pelan ibu bapa, sekolah dan guru juga sama iaitu mahu melahirkan anak atau pelajar yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat,” tegasnya.

Sebab itulah, katanya semua pihak mempunyai peranan yang berkait rapat dalam memastikan matlamat tersebut dapat dicapai dengan berkesan.

“Kita perlu perkukuh kerjasama antara kita untuk menjadi pasukan besar dan kuat kerana seorang diri kita tidak dapat kita melaksanak­annya,” ujarnya.

Pada majlis yang dihadiri lebih 700 peserta terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan warga pendidik DUN Tupong itu, Fazzrudin turut menyampaik­an baucar bantuan daripada Yayasan Sarawak kepada 291 pelajar serta biasiswa tempatan kepada 21 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman dan SMK Petra Jaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia