Utusan Borneo (Sarawak)

Pemandu teksi jujur pulangkan tripod milik pegawai futsal Thailand

-

SHAH ALAM: Kejujuran seorang pemandu teksi memulangka­n semula tripod kamera milik pegawai pengurus skuad futsal lelaki Thailand yang tertinggal di dalam kenderaann­ya kelmarin, dipuji Polis Daerah Shah Alam.

Ketua polis daerah itu, ACP Shafien Mamat berkata pihaknya menerima laporan pada jam 6.10 petang daripada lelaki berumur 55 tahun berkenaan menyatakan beliau tertinggal tripod kameranya di dalam sebuah teksi.

Beliau berkata insiden berlaku ketika pegawai itu menaiki teksi berkenaan dari Kompleks Sukan Panasonic di sini untuk pulang ke lokasi penginapan atlet Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Hotel Concorde Shah Alam.

“Sejurus sampai di hotel, pegawai berkenaan terus keluar dan pemandu teksi, Cheong Theam Kwai, 53, tidak perasan yang lelaki berkenaan tertinggal tripod di tempat duduk belakang lalu meninggalk­an tempat tersebut.

“Menyedari hal itu, pegawai terbabit memberitah­u staf hotel dan rakaman kamera litar tertutup di lokasi menunjukka­n teksi yang dinaikinya adalah jenis Proton Exora berwarna emas,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shafien berkata tidak sampai tiga jam daripada insiden ‘tertinggal’ tripod, pegawai sukan terbabit menarik nafas lega apabila Cheong sendiri yang menghantar kembali peralatan tersebut kepada rakan sepasukan lelaki itu di kompleks sukan berkenaan.

“Walaupun ada kes kecurian berlaku membabitka­n pemandu bas kejohanan, namun sifat jujur Cheong dari Ampang itu harus dipuji,” katanya.

Kompleks sukan terbabit merupakan lokasi perlawanan futsal KL2017 yang bermula semalam hingga 27 Ogos ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia