Utusan Borneo (Sarawak)

10 rumah peneroka rosak dibadai ribut

-

GUA MUSANG: Sebanyak 10 rumah peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan ( KESEDAR) Renok Baru dan Sungai Asap di sini, rosak akibat ribut lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu, bumbung rumah mangsa tercabut kerana diterbangk­an angin kencang yang berlaku kira-kira 15 minit.

Seorang mangsa, Juriah Jusoh, 53, yang tinggal di RKT Kesedar Renok Baru B berkata ketika kejadian hanya beliau dan seorang anak lelakinya berusia 18 tahun berada di rumah kerana suaminya ketika itu menghadiri mesyuarat koperasi.

“Ketika kejadian, saya tak perasan bumbung rumah saya diterbangk­an angin kerana berada di bengkel jahitan di depan rumah.

“Selepas ribut reda, saya keluar dari bengkel jahitan dan terus ke dapur serta merasa hairan kerana dapur dalam keadaan cerah serta dibanjiri air sebelum menyedari bumbung rumah tercabut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Sabariah Awang Hamat, 49, berkata rumahnya tiba-tiba bergegar apabila dihempap bumbung rumah Juriah yang diterbangk­an ribut.

“Waktu itu, saya bersama seorang anak perempuan berusia 26 tahun dan dua cucu berada dalam rumah sebelum terdengar dentuman kuat di atas bumbung,” katanya yang cedera ringan akibat terkena serpihan bumbung yang menimpa kepala dan belakang badannya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia