Utusan Borneo (Sarawak)

Monaco terus menang tanpa kelibat Mbappe

-

PARIS: Monaco menepis ketiadaan penyerang bintang yang mahu meninggalk­an kelab, Kylian Mbappe, apabila gol lewat kapten Radamel Falcao memastikan kemenangan 1-0 di Metz kelmarin yang menyaksika­n mereka mencipta rekod kemenangan baharu dalam liga utama Perancis.

Gol Falcao tiba 12 minit sebelum tamat di Stade SaintSymph­orien, dan kemenangan itu menjadikan­nya tiga kemenangan berturut-turut pada permulaan musim ba- haru bagi juara bertahan Ligue 1 yang dibimbing oleh Leonardo Jardim itu.

Ia kini juga 15 kemenangan yang bermula pada Februari lalu apabila Monaco mengatasi rekod lama 14 kemenangan berturut-turut yang dicipta oleh Bordeaux bimbingan Laurent Blanc pada 2009.

Mbappe ditinggalk­an dari skuad sepenuhnya di tengah-tengah spekulasi yang semakin hangat mengenai masa depannya.

Pemain berusia 18 tahun itu, yang cemerlang pada separuh kedua musim lepas ketika kelab prinsipali­ti itu memenangi kejuaraan dan mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara, mahu berhijrah ke Paris Saint-Germain.

Kelab ibu kota itu dan Real Madrid dilaporkan bersedia untuk membayar 180 juta euro ( RM864 juta) bagi mendapatka­n khidmatnya dalam usaha mereka untuk menggabung­kannya dengan Neymar dan Edinson Cavani dalam serangan.

Pemain antarabang­sa Per- ancis yang muda itu diletakkan di bangku pemain simpanan sepanjang kemenangan 4-1 di Dijon pada hujung minggu lepas apabila Falcao menjaringk­an hatrik dan pemain Colombia itu sekali lagi memberi perbezaan di sini.

Perlawanan itu, yang didahului tafakur selama seminit sebagai penghormat­an kepada mangsa serangan pengganas di Sepanyol, menuju ke arah keputusan seri tanpa jaringan sebelum campur tangan Falcao. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia