Utusan Borneo (Sarawak)

Skuad memanah recurve mampu meraih dua emas

-

KUALA LUMPUR: Acara memanah recurve yang akan membuka tirainya pada Ahad ini berpotensi untuk menyumbang­kan dua lagi pingat emas Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) buat negara.

Keyakinan itu dikongsi Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Seri Johari Baharom.

“Berdasar kepada semangat dan kerjasama berpasukan yang ditonjolka­n oleh pasukan negara yang sangat baik, kami yakin skuad memanah recurve mampu hadiahkan dua pingat emas untuk negara,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.

Lima pingat emas menjadi taruhan dalam acara recurve iaitu acara individu lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita serta berpasukan campuran.

Malaysia diwakili empat pemanah lelaki iaitu Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin serta empat pemanah wanita iaitu Nuramalia Haneesha Mazlan, Nur Aliya Ghapar, Nur Afisa Abdul Halil dan Loke Shin Hui.

Haziq ketika ditemui Bernama berkata beliau mahu beraksi sebaik mungkin tanpa meletakkan sebarang sasaran yang boleh mengganggu fokusnya.

“Memang persatuan letak sasaran tapi saya tidak mahu memikirkan­nya. Saya hanya mahu buat yang terbaik untuk diri saya dan negara,” katanya yang percaya telah berada pada tahap prestasi terbaik untuk bersaing dalam temasya kali ini.

Pada edisi Sukan SEA Singapura 2015, skuad memanah recurve meraih satu pingat emas melalui acara recurve berpasukan lelaki, gandingan Haziq, Khairul Anuar dan Muhamad Ikram Joni; dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Haziq berkata walaupun tanpa kehadiran Muhamad Ikram yang digugurkan dari skuad Sukan SEA berikutan prestasi yang tidak konsisten; aksi mereka tidak terganggu untuk terus mempertaha­nkan pingat emas acara berpasukan.

Pingat acara recurve akan berlangsun­g pada 20 hingga 22 Ogos di padang sintetik, Bandar Sukan Kuala Lumpur. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia