Utusan Borneo (Sarawak)

Hasil mesyuarat Jawatankua­sa PM dan PG akan dikemuka kepada KM

-

KUCHING: Hasil beberapa siri mesyuarat Jawatankua­sa Pemakai Menua (PM) dan Pulau Galau (PG) akan dikemukaka­n kepada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dalam waktu terdekat ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga pengerusi jawatankua­sa itu semasa berucap pada Majlis Pelancaran Skim SALCRA Arip-BawangTau di Rumah Lukok Munyi, Sungai Bawang Balingian, Selangau kelmarin (Sabtu).

“Jawatankua­sa ini dipengerus­ikan oleh saya sendiri, telah bermesyuar­at beberapa kali dan akan mengemukak­an hasil mesyuarat kepada Ketua Menteri untuk mencari jalan terbaik menyelesai­kan isu berkaitan Pemakai Menua dan Pulau Galau.

“Kami (jawatankua­sa) akan melakukan yang terbaik. Isu ini mesti ditangani dengan telus dan baik dengan mengambil kira pelbagai aspek agar ia memberi manfaat kepada semua pihak, rakyat dan kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanap­un tidak menyatakan dengan terperinci hasil rundingan tersebut.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah sebelum ini pernah mengatakan hasil rundingan jawatankua­sa itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri sebelum hujung tahun ini.

Jawatankua­sa yang ditubuhkan awal tahun ini katanya, menjalanka­n kajian merangkumi sejarah dan adat tanah NCR dengan lebih terperinci sebelum laporan lengkap diserahkan kepada Ketua Menteri.

Isu PM dan PG menjadi pertikaian dan banyak kes dibawa ke mahkamah kerana hanya Temuda diiktiraf oleh undang- undang kerajaan negeri.

Sementara itu dalam perkembang­an berkaitan Uggah berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha menyukat tanah NCR di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (Rizab Guna Sama Bumiputera) tahun ini.

“Tahun ini RM30 juta telah diperuntuk­kan bagi meneruskan usaha menyukat tanah NCR di bawah Seksyen 6 (Kanun Tanah Negeri) seterusnya di bawah Seksyen 8 (hak milik individu).

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan tidak akan merampas tanah yang disukat di bawah Seksyen 6 seperti didakwa oleh sesetengah pihak dan surat hak milik individu di bawah Seksyen 18 akan diberikan,” ujarnya.

Menurut Uggah Sarawak dianggarka­n mempunyai kirakira 1.5 juta hektar NCR dan daripada jumlah itu 1.12 juta hektar telah diiktiraf sebagai tanah NCR selebihnya dibangunka­n oleh SALCRA ( Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak).

Menjelas lanjut beliau berkata setakat ini lebih 700,000 hektar tanah NCR telah disukat di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan daripada jumlah itu lebih 500,000 hektar telah diwartakan.

“Rakyat boleh menyemak sendiri, tidak ada satu pun tanah yang disukat di bawah Seksyen 6 telah diambil oleh kerajaan, sedangkan tujuan utama NCR disukat di bawah Seksyen 6 ialah kerajaan mahu mengiktira­f tanah NCR di negeri ini,” tegasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia