Utusan Borneo (Sarawak)

JPMS cadang galeri khas berkaitan Kelab Lumba Kuda Sarawak ditubuh

-

KUCHING: Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak ( JPMS) mencadangk­an agar sebuah galeri khas berkaitan Kelab Lumba Kuda Sarawak ditubuhkan.

Pengarahny­a Abang Sardon Abang Hasyim berkata, sukan lumba kuda merupakan acara yang sangat popular di Kuching pada suatu ketika dahulu, pasti memberi kesan mendalam terhadap warga bandar raya ini.

Malah katanya, dengan adanya galeri itu kelak ia dapat mengimbau kembali nostalgia unik buat warga Kuching khasnya penduduk Kampung Lumba Kuda sekali gus boleh dijadikan lokasi tersebut sebagai kawasan tarikan pelancong di bandar raya ini.

“Apa yang menjadi perhatian saya adalah sukan lumba kuda merupakan acara hujung minggu yang begitu dekat dengan rakyat khususnya penduduk Kuching tidak kira bangsa suatu ketika dahulu.

“Untuk itu, saya meminta Komuniti 1Malaysia Kampung Lumba Kuda dapat bekerjasam­a dengan kami (JPMS) untuk menubuhkan sebuah galeri sejarah yang mempamerka­n bahan-bahan lama berkaitan sukan lumba kuda yang popular di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kasih Parlimen Bandar Kuching anjuran JPMS di sebuah hotel di sini semalam.

Pada masa sama Abang Sardon berkata sebagai langkah awal untuk mewujudkan galeri itu, ahli K1M Kampung Lumba Kuda boleh melakukan tinjauan dan kaji selidik terhadap penggiat atau peserta sukan tersebut.

Jelasnya, usaha itu bagi mengumpul bahan berkaitan sukan lumba kuda yang akan digunakan untuk dipamerkan di galeri itu kelak.

“Kalau boleh saya minta kita bekerjasam­a untuk menubuhkan galeri sejarah lumba kuda ini untuk mengumpul bahan-bahan seperti gambar, pakaian joki, peralatan dan sebagainya yang boleh kita simpan di galeri ini nanti.

“Kalau kita tidak melakukann­ya dari sekarang saya yakin generasi akan datang tidak tahu tentang sejarah Kampung Lumba Kuda ini,” tegasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia