Utusan Borneo (Sarawak)

Layanan cukai sama, penting dalam pasaran modal ASEAN

Cukai yang sama akan menggalakk­an aliran modal: Nazir

-

KUALA LUMPUR: Layanan cukai yang sama dalam pasaran modal ASEAN adalah penting untuk menggalakk­an aliran modal antara negara ASEAN, kata Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Beliau berkata, sebagai contoh, untuk mengakses bon mata wang bhat kerajaan dan korporat dalam pasaran modal Thailand, pelabur Malaysia akan dikenakan kenaikan cukai modal namun pelabur Singapura dan Korea Selatan diberikan pengecuali­an.

Pelabur Singapura turut dikecualik­an daripada cukai ke atas bon rupiah kerajaan Indonesia namun pada masa yang sama pelabur Malaysia dan Korea Selatan dikenakan cukai, katanya.

“Tidakkah sepatutnya kita mempunyai peraturan dengan semua pelabur ASEAN tertakluk kepada had minimum pencukaian yang akan diguna pakai oleh setiap negara?

“Negara ASEAN sewajarnya menerima layanan cukai terbaik dalam semua pasaran modal di seluruh ASEAN,” katanya kepada pemberita di luar Siri Meja Bulat ASEAN mengenai Pengukuhan Pasaran Modal di ASEAN: Peluang dan Cabaran di sini, semalam.

Nazir menekankan bahawa peraturan dan kawal selia di setiap negara sewajarnya sama dan adil, yang boleh dicapai mengikut rangka kerja ASEAN.

“Memandangk­an jalinan kita semakin erat, rangka kerja itu akan menyediaka­n inisiatif mudah secara sama – untuk memberi layanan seimbang kepada semua pelabur ASEAN,” katanya.

Beliau turut mencadangk­an pembentuka­n pusat maya yang berperanan sebagai hab maklumat bagi membantu pelabur mendapatka­n pengetahua­n dan pandangan berharga mengenai saham syarikat daripada bursa saham asing dalam ASEAN.

Nazir berkata, peningkata­n pemahaman dan kesedaran semua pihak mengenai peluang pelaburan di seluruh rantau ini melalui penyediaan akses mudah kepada maklumat mengenai bagaimana untuk melabur akan membantu memperting­katkan nilai kerjasama ekonomi antara negara ASEAN.

“Terdapat kekurangan sumber maklumat yang kukuh mengenai ini (saham yang menarik dalam pasaran modal ASEAN).

“Sebab itulah saya mencadangk­an pembentuka­n pusat maklumat maya bagi kita mengumpulk­an semua syarikat utama dalam pelbagai bursa, supaya semua pihak boleh mendapatka­n maklumat secara mudah untuk melabur,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia