Dokumen London dibincang bersama komponen BN
Dibincang dahulu sebelum rundingan mengenai autonomi S’wak dengan Perdana Menteri dilakukan
KUCHING: Dokumen-dokumen mengandungi perubahan status Sarawak yang ditemui di London baru-baru ini akan dibincangkan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak terlebih dahulu sebelum rundingan mengenai autonomi Sarawak dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan.
Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar dan Forum Kecemerlangan Perniagaan 2017 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.
Hadir sama Pengerusi MPC Tan Sri Azman Hashim dan Ahli Lembaga Pengarah MPC Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg.
Abang Johari menegaskan, buat masa ini kerajaan negeri tidak perlu merujuk perkara itu terus kepada Najib.
“Kita perlu berbincang dalam kalangan kita dahulu bersama parti komponen BN bagi menentukan langkah seterusnya harus diambil.
“Selepas itu, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana isu ini sangat rumit dan kita mesti membina hubungan yang baik,” ujarnya.
Abang Johari turut menjelaskan bahawa Najib sebagai seorang pemimpin yang berfikiran terbuka, sentiasa mengalu-alukan rundingan dengan kerajaan negeri berhubung isu autonomi.
“Kita harus menghargai (sikap) keterbukaan beliau (Najib). Jadi sebaik kita telah mengumpul semua fakta diperlukan, beliau (Najib) akan menelitinya.
“Sebelum ini beliau (Najib) pernah berkata, hak Sarawak adalah milik Sarawak dan beliau akan menyerahkannya semula kepada Sarawak,” katanya.
Abang Johari berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau akan mengadakan pertemuan dengan Najib untuk membincangkan isu berkenaan ekoran penemuan dokumen-dokumen baharu dan penting mengenai Sarawak serta penubuhan Malaysia oleh sepasukan peguam negeri ini yang diketuai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di London Julai lalu.
Beliau turut memberitahu bahawa kumpulan peguam negeri tidak perlu ke London semula untuk mengumpul lebih banyak lagi dokumen berkaitan daripada British National Archive seperti dimaklumkan Sharifah Hasidah menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
“Tidak perlu kunjungan semula ke London kerana kita sudah menjalinkan hubungan dengan Commonwealth Library dan Archive di Marlborough House London,” jelasnya.
Tambahnya pasukan peguam negeri telah membawa balik dokumen- dokumen berkaitan pernubuhan Malaysia seperti Kertas-Kertas Kabinet Kerajaan Britain berhubung laporan Suruhanjaya Cobbold dan pandangannya mengenai kemerdekaan Sarawak menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia baharu serta banyak lagi.
“Banyak perkara baharu bagi kita. Oleh sebab itu kita tidak boleh bergantung kepada kata-kata pembangkang yang hanya memperoleh lebih banyak maklumat daripada Internet.
“Kita lebih pintar daripada pembangkang,” ujarnya.
Mengenai isu pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan ahli lembaga Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), Abang Johari berkata belum tiba masanya untuk beliau membuat pengumuman berhubung perkara itu.
“Saya berjanji akan umumkan dalam tempoh seminggu. Hari ini (semalam) baharu Rabu,” katanya dengan nada berseloroh.
Ditanya sama ada CEO Lembaga Pelabuhan Bintulu Berhad Datuk Mohammad Medan Abdullah antara ahli lembaga Petros yang akan dilantik, beliau berkata: “Saya tidak tahu… anda ( media) tunggu sahaja.”
Abang Johari juga memberitahu bahawa Presiden dan CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala bukan antara ahli lembaga Petros yang akan dilantik.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebelum ini menyatakan beliau tidak berminat dan mahu memfokus kepada PEMANDU.
“Sebelum ini saya telah mengatakan, ada lima ahli lembaga pengarah dan kesemua yang akan dilantik nanti adalah rakyat Sarawak yang mempunyai pengalaman dalam industri minyak dan gas,” katanya.
Kita perlu berbincang dalam kalangan kita dahulu bersama parti komponen BN bagi menentukan langkah seterusnya harus diambil. Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg Ketua Menteri