Utusan Borneo (Sarawak)

Premium bertulis kasar industri insurans am susut kepada RM9.17b

-

KUALA LUMPUR: Industri insurans am susut sebanyak 1.9 peratus dalam separuh pertama 2017 berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, dengan premium bertulis kasar menurun dari tahun ke tahun kepada RM9.17 bilion daripada RM9.34 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) Mark Lim berkata industri tersebut menerima kesan akibat kemerosota­n sebanyak 13.2 peratus dalam insurans mar- itim, penerbanga­n dan transit (MAT) kepada RM820 juta daripada RM944 juta.

“Dua kategori yang dominan iaitu insurans permotoran dan kebakaran naik dari tahun ke tahun, masing-masing kepada 1.8 peratus (RM4.2 bilion) dan 2.4 peratus (RM1.8 bilion),” katanya kepada pemberita selepas mengumumka­n prestasi separuh tahun kedua 2017 industri itu semalam.

Katanya, insurans kemalangan peribadi telah berkuranga­n sebanyak 12.5 peratus kepada RM608 juta dalam separuh pertama 2017 daripada RM696 juta manakala insurans perubatan dan kesihatan menokok sebanyak 1.7 peratus dengan RM628 juta dalam jumlah premium bertulis.

“Kami telah menyaksika­n pertumbuha­n yang perlahan bagi prestasi setengah tahun sejak 2014,” kata Lim.

Beliau ketika bercakap mengenai tuntutan insurans, berkata industri telah menerima kesan selepas nisbah tuntutan bersih yang ditanggung meningkat daripada 53.8 peratus kepada 57.4 peratus pada separuh pertama 2017.

Katanya, insurans permotoran serta perubatan dan kesihatan merekodkan pertumbuha­n tertinggi, masing-masing pada 71.4 peratus daripada 65 peratus dan 71.8 peratus daripada 67.2 peratus.

Tuntutan insurans permotoran naik kepada RM2.68 bilion dalam separuh pertama 2017 manakala pada asas seharian, syarikat insurans membayar sejumlah wang yang besar iaitu sebanyak RM14.7 juta dalam tuntutan untuk kerosakan harta benda, kecederaan tubuh badan dan kecurian kenderaan.

“Ini satu angka yang agak signifikan yang perlu diberi perhatian dan dikurangka­n,” kata Lim.

Katanya, angka kecurian kenderaan terus merosot sebanyak 25 peratus dalam separuh pertama 2017 kepada 7,897 daripada 10,551 pada tempoh yang sama tahun lepas berikutan usaha sama oleh agensi-agensi penguatkua­saan seperti polis, kastam, agensi penguatkua­saan undang- undang yang lain, khususnya selepas penubuhan Majlis Penguranga­n Kecurian Kenderaan yang diwujudkan oleh industri.

Melangkah ke hadapan, PIAM menjangkak­an industri insurans am tidak berubah tahun ini disebabkan persekitar­an tahunan dan perniagaan yang mencabar serta tidak menentu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia