Utusan Borneo (Sarawak)

BEDAH SIASAT MURID MATI DIPERCAYAI DIBELASAH PAGI INI

-

SIBU: Bedah siasat mayat murid tahun satu yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah oleh seorang murid tahun enam di asrama sebuah sekolah rendah di Kapit akan dijalankan pada jam 9 pagi ini.

Sumber polis memberitah­u bedah siasat terhadap mayat mangsa yang berumur tujuh tahun dijangka mengambil masa tiga hingga empat jam sebelum keputusan doktor dapat diperolehi.

Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik berasal dari Rumah Untang, Sungai Yong, Kapit meninggal dunia pada jam 3.30 petang Khamis lalu selepas tiga hari berada dalam keadaan koma di Hospital Sibu.

Terdahulu, mangsa telah digegaskan oleh pihak sekolah ke sebuah klinik kesihatan di Nanga Merit sebelum dirujuk ke Hospital Kapit dan kemudian dipindah ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut di Unit Kecemasan Rapi pada 22 Ogos.

Pesuruhjay­a Polis Sarawak Datuk Amer Awal berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa, 35, mengatakan anaknya berusia tujuh tahun telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 22 Ogos lepas.

“Bapa mangsa telah memaklumka­n bahawa anaknya mengalami kecederaan parah di kepala dan terdapat kesan lebam di anggota badannya,” kata Amer.

Mangsa telah dibelasah oleh suspek yang berang selepas dikatakan mangsa telah mengejekny­a selain mempermain­kan nama bapanya mendorong suspek bertindak menutup mulut mangsa menggunaka­n selimut.

Difahamkan, insiden itu berlaku selepas jam 9 malam, iaitu selepas penyelia asrama mengadakan pemeriksaa­n asrama yang didiami oleh lima murid termasuk mangsa dan suspek.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penyelia asrama pada jam 5.30 pagi hari kejadian.

Berikutan insiden tersebut, seorang murid tahun enam telah berjaya ditahan polis dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

Bagaimanap­un, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataann­ya diambil kerana masih di bawah umur dan memberi ruang kepadanya untuk menduduki peperiksaa­n Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR) akan datang.

Menurut Amer, satu pasukan penyiasata­n khas diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian telah ditubuh untuk menyiasat kes tersebut.

Difahamkan, suspek berusia 12 tahun terbabit baharu berpindah ke sekolah berkenaan pada awal Julai lalu.

Usaha menghubung­i pihak pengurusan sekolah terbabit gagal, namun sumber memberitah­u guru besar, seorang guru dan penyelia asrama sekolah terbabit telah diminta hadir ke Balai IPD Kapit untuk memberi keterangan masing- masing berhubung kes tersebut.

Menurut sumber polis, guru besar sekolah berkenaan telah memberi keterangan­nya pada Khamis lalu diikuti oleh seorang guru dan seorang penyelia asrama petang semalam.

Sehubungan itu, usaha untuk menemui ibu bapa mangsa di rumah penginapan pelawat di Anjung Kasih, Hospital Sibu juga tidak berjaya selepas mereka didapati keluar pagi semalam.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata kes kematian murid akibat buli tidak sewajarnya berlaku.

“Sesungguhn­ya ia amat malang. Saya belum mendapat maklumat terperinci daripada pengarah pendidikan.

“Insiden itu tidak wajar berlaku tetapi memandangk­an ia telah berlaku, Jabatan Pendidikan akan menunggu laporan terperinci daripada polis,” katanya ketika dihubungi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia