Utusan Borneo (Sarawak)

Pegawai PDRM akan ke Thailand berhubung kes seludup syabu

-

SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke Thailand dalam masa terdekat bagi mendapatka­n maklumat berhubung kes dua rakyat Malaysia yang ditahan di Sadao, Songkhla pada Selasa lepas kerana cuba menyeludup masuk 200 kilogram dadah jenis syabu ke negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penghantar­an pegawai PDRM ke negara itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard apabila rakyat Malaysia ditahan di luar negara.

“Kita akan tunggu pihak berkuasa Thailand selesai jalankan siasatan awal, bila ia bersedia, ia akan maklumkan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai penahanan dua lelaki rakyat Malaysia itu yang ditahan ketika cuba menyeludup masuk kira-kira 200 kg dadah itu yang bernilai kirakira 400 juta Baht (kirakira RM50 juta).

Khalid berkata pada masa sama, PDRM akan membuat permohonan bagi membolehka­n pegawainya yang dihantar ke sana bertemu suspek yang ditahan.

“Biasanya, Thailand akan beri kerjasama pada kita kerana ini merupakan SOP, sama juga kalau warganegar­a mereka ditahan di sini, kita juga kongsi maklumat,” katanya.

Kedua- dua lelaki berumur 49 dan 35 tahun itu ditahan di Sadao, Songkhla selepas pihak berkuasa Thailand menerima maklumat mengenai percubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini.

Pihak berkuasa Thailand menemukan tujuh guni dipercayai mengandung­i dadah ‘ Ice’ dalam sebuah kereta yang dipandu lelaki itu ketika dia hendak memindahka­n dadah itu ke sebuah kereta lain milik rakan senegarany­a. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia