Utusan Borneo (Sarawak)

Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah miliki dadah

-

MIRI: Sepasang kekasih masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kelmarin terhadap tiga tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis ganja, Ketamine dan syabu.

Lai Chau Nam, 34, dari Kampung Siburan, Batu 17, Kuching dan teman wanitanya, Liu Shu Ying, 41, dari China telah didakwa atas tiga tuduhan masing-masing mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 12 (2) dan dihukum di bawah Seksyen 39A (1) ABD 1952 serta Seksyen 12 (a) dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen 6 boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara lima tahun atau keduaduany­a sekali; Seksyen 39A (1) memperuntu­kan penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta boleh disebat tidak kurang dari tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali.

Manakala Seksyen 12 (3) boleh membawa denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n tuduhan pertama kedua-dua tertuduh ada memiliki dadah berbahaya disyaki ganja seberat 15 gram (berat kasar).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 12.30 pagi, 22 April tahun ini di sebuah rumah di Jalan Intan 2, Desa B ahagia Vista Perdana, Bandar baru Permyjaya.

Manakala dalam tuduhan kedua dan ketiga, mereka telah didakwa melakukan kesalahan serupa iaitu memiliki dadah jenis Ketamine dengan berat kasar 11 gram dan syabu 1.14 gram (berat kasar).

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan mereka dengan niat bersama pada masa dan di tempat yang sama dengan tuduhan pertama.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 8 September depan untuk pengurusan kes.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintah­kan supaya dibebas dengan jaminan masing-masing RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia