Utusan Borneo (Sarawak)

Enam termasuk dua warga asing didakwa miliki dadah berbahaya

-

MIRI: Enam individu termasuk sepasang warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret kelmarin atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis Methamphet­amine.

Win Kanyan, 46, dari Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir; Mohd Nur Zaimie Saie, 21, dari Desa Indah 3, Permyjaya; Mohammad Iqhuwan Mat, 35, dari Piasau Jaya Fasa 2; Ediwany Baverly Suwin, 20, dari Sri Aman; Jasmin Sahai, 28, dari Kalimantan, Indonesia dan Asraf Zein Pjt, 26, dari Sumatera, Indonesia masing-masing telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan kes, kesemua tertuduh telah dituduh secara bersama memiliki dadah berbahaya jenis Methamphet­amine dengan berat kasar 1.52 gram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.20 pagi, 19 Ogos lalu di sebuah bilik tidak bernombor di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Ricemill di sini.

Bagaimanap­un, tiada pengakuan salah kesemua tertuduh direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes memandangk­an laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarka­n permohonan itu dan menetapkan 13 September depan untuk sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan kimia disediakan.

Manakala tertuduh pertama hingga keempat dibenarkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM2,500 berserta dua penjamin tempatan.

Sementara tertuduh kelima dan keenam yang tidak ditawarkan jaminan kerana merupakan warga asing diperintah­kan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia