Utusan Borneo (Sarawak)

Remaja dan ‘datuk’ antara 35 ditahan dalam Ops Vulture

-

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan seorang ‘Datuk’ antara 35 individu yang ditahan menerusi Ops Vulture yang dijalankan di ibu negara, Johor, Melaka dan Kedah selama empat hari bermula Selasa, bagi membantera­s kegiatan along.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman SAC Mohd Sakri Arifin berkata kesemua mereka dipercayai anggota dua sindiket yang aktif menjalanka­n kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dan pinjaman tidak wujud iaitu skim penipuan yang menghendak­i mangsa membayar ‘deposit’ untuk mendapatka­n pinjaman.

“Lelaki bergelar ‘Datuk’ itu yang berusia 40 tahun ditangkap di Johor dan dipercayai ketua satu daripada sindiket berkenaan.

“Berdasarka­n operasi itu, polis yakin dapat melumpuhka­n kedua- dua sindiket along yang dipercayai aktif sejak 2015,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, keseluruha­nnya polis menerima 23 laporan polis yang dibuat terhadap kedua-dua sindiket yang melibatkan pinjaman berjumlah lebih RM1.6 juta.

Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan kadar faedah antara 10 dan 15 peratus kepada peminjam selain ditawarkan pinjaman baharu bagi menyelesai­kan pinjaman sedia ada, katanya.

Menurutnya modus oper- andi kumpulan ialah mengiklank­an ‘perkhidmat­an’ mereka menerusi media sosial dan risalah yang dihantar ke rumah- rumah dan premis perniagaan.

“Mereka akan bertindak ganas dengan membuat ugutan dan menyimbah cat jika mangsa gagal membuat bayaran,” kata Mohd Sakri.

Beliau berkata dalam operasi itu polis turut merampas pelbagai barangan termasuk 34 keping kad ATM, empat buku bank dan 70 telefon bimbit. Kesemua suspek merangkumi 27 lelaki dan lapan wanita berusia 15 hingga 40 tahun terbabit kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia