Utusan Borneo (Sarawak)

Undian perlawanan Liga Juara-Juara muktamad

-

MONACO: Juara bertahan Real Madrid akan menentang Borussia Dortmund dan Tottenham Hotspur dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara manakala juara lima kali Barcelona diundi untuk menentang naib juara musim lepas Juventus kelmarin.

Pasukan Zinedine Zidane memburu kejuaraan Eropah ketiga berturut- turut dan keempat dalam lima musim setelah menewaskan juara Itali Juventus 4-1 di Cardiff pada Jun lalu.

Juara Eropah sebanyak 12 kali itu juga akan menentang APOEL dari Cyprus dalam Kumpulan H yang mencabar dan turut menyaksika­n Gareth Bale berdepan dengan Spurs buat pertama kali sejak menyertai Real dalam satu perjanjian rekod dunia ketika itu pada 2013.

Penyerang Tottenham Harry Kane berkata dia teruja untuk menentang juara bertahan.

“Kita mahu menguji diri dengan menentang pasukan terbaik dan Real Madrid merupakan yang terbaik buat masa sekarang,” kata Kane.

Barcelona menewaskan Juventus 3-1 dalam perlawanan akhir 2015 tetapi kelab Sepanyol itu mengalami bulan yang sukar ekoran pemergian Neymar ke Paris Saint-Germain dalam kontrak bernilai 222 juta euro (RM1.07 bilion).

Mereka juga akan menentang juara Greece Olympiakos dan Sporting Lisbon dalam Kumpulan D yang kompetitif.

Ketua pengarah Juventus Beppe Marotta berkata Barca lebih lemah ekoran penjualan Neymar yang memecah rekod dunia.

Jurulatih Bayern Munich Carlo Ancelotti akan kembali ke Paris dalam Kumpulan B yang turut memaparkan Celtic dan Anderlecht.

“Ia adalah kumpulan yang mengujakan dengan beberapa pasukan hebat dan Paris di tempat teratas,” kata pengurus dari Itali itu.

Jurulatih PSG Unai Emery, yang merancang pencapaian yang lebih baik ekoran kekalahan yang menakjubka­n kepada Barca pada tahun lepas, menjangka pasukannya untuk menyertai Bayern pada peringkat 16 terakhir.

“Bayern Munich merupakan sebuah pasukan yang sangat kuat. Kami adalah dua pasukan pilihan,” kata Emery.

Chelsea, satu daripada lima pasukan Inggeris yang layak ke fasa kumpulan, akan bertemu dengan Atletico Madrid dalam Kumpulan C selain Roma dan Qarabag, kelab pertama dari Azerbaijan untuk sampai ke peringkat ini dalam pertanding­an tersebut.

Jose Mourinho akan melawat negara asalnya Portugal bersama Manchester United setelah mereka diletakkan dalam Kumpulan A bersama Benfica, CSKA Moscow dan Basel.

Manchester City bimbingan Pep Guardiola dalam Kumpulan F di sisi Shakhtar Donetsk, Napoli dan Feyenoord manakala Liverpool akan menentang Spartak Moscow, Sevilla dan Maribor dalam Kumpulan E.

Juara Perancis, Monaco, yang mara ke peringkat separuh akhir pada musim lepas, menentang Porto, Besiktas dan RB Leipzig dalam Kumpulan G.

Pusingan perlawanan pembukaan akan berlangsun­g pada 12-13 September. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia