Utusan Borneo (Sarawak)

Balu menang jackpot AS$758.7 juta

-

NEW YORK: Seorang ibu dua anak berusia 53 tahun di Massachuse­tts yang memenangi cepumas tunggal terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) – AS$758.7 juta (RM3.41 bilion) – kelmarin berkata ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan segera meninggalk­an pekerjaann­ya selama 32 tahun di hospital.

Mavis Wanczyk berkata dia bermain loteri sekadar sebagai “angan-angan”, tidak pernah percaya bahawa suatu hari nanti dia dapat bersara awal dari Pusat Perubatan Mercy, di mana dia bekerja dalam penjagaan pesakit.

Kelmarin impian itu menjadi kenyataan.

“Saya sudah menghubung­i mereka dan memberitah­u mereka bahawa saya tidak akan kembali,” katanya yang disambut gelak ketawa pada sidang akhbar yang dihoskan oleh Massachuse­tts State Lottery.

“Saya akan bersembuny­i di atas katil saya!” tambahnya ketika ditanya bagaimana dia merancang untuk meraikanny­a, sambil memakai kacamata berbingkai hitam, baju panas hitam yang berzip dan menutup kepala di atas baju renda kelabu, rantai leher dan rambut coklat kemerah-merahan yang mencecah bahu.

Wanczyk memilih nombor yang menang – termasuk hari jadi keluarga – dan membeli tiket itu dari sebuah kedai runcit di Chicopee, sebuah bandar kecil 160 kilometer ke barat Boston, dan menganggap­nya sebagai “peluang yang saya perlu ambil”.

“Saya hanya di sana untuk membelinya dan mencuba nasib,” jelasnya sambil mengunyah gula-gula getah dan tersenyum.

Wanczyk diiringi ke sidang akhbar itu oleh ibu dan dua saudara perempuann­ya.

Beliau memenangi jackpot itu sembilan bulan selepas kematian suaminya, William Wanczyk, seorang bekas anggota bomba, yang meninggal dunia pada 6 November lalu selepas dilanggar oleh pemandu yang lari ketika menunggu di sebuah perhentian bas di bandar Amherst, Massachuse­tts, lapor media AS. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia