Tiga maut kemalangan jalan raya
Nahas babitkan seorang guru dalam perjalanan mengajar kelas tambahan
MARANG: Tiga individu termasuk seorang guru maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di kilometer 42 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, berhampiran Kampung Gong Balai, di sini, jam 7.20 pagi semalam.
Lebih menyayat hati ketika kejadian mangsa, Zaimah Abdul Rahman, 54, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Awang Jabar, di sini dalam perjalanan ke sekolah bagi mengajar kelas tambahan kepada pelajarnya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar Zaimah, Muhammad Abdin Syakirin Ahmad Yusup,17 yang ditemui pemberita berkata sepatutnya gurunya itu mengajar kelas tambahan bagi subjek Bahasa Melayu bermula 8 pagi. Namun sehingga 8.20 pagi beliau tidak muncul dan pelajar menganggap gurunya itu mempunyai perkara yang lebih penting.
“Tidak lama selepas itu kami ada terbaca menerusi kumpulan WhatsApp terdapat sebuah kereta Viva berwarna putih terlibat dalam kemalangan, namun tidak sangka ia adalah kereta cikgu.
Kami bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan,” katanya.
Selain Zaimah, dua lagi yang maut ialah pemandu kereta Proton Saga, Rohimah Baru, 53, dan adik tirinya Kamariah Draman, 44, manakala seorang lagi yang menaiki kereta sama turut mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah akibat pertembungan itu.
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama. — Bernama
Tidak lama selepas itu kami ada terbaca menerusi kumpulan WhatsApp terdapat sebuah kereta Viva berwarna putih terlibat dalam kemalangan, namun tidak sangka ia adalah kereta cikgu. Kami bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan. Muhammad Abdin Syakirin Ahmad Yusup Pelajar